DUNIA
Bantuan udara ke Gaza langkah terakhir, berisiko bahayakan orang awam - PBB

Bantuan kemanusiaan digugurkan dari udara ke Bandar Gaza pada Ahad lalu. - Gambar AP
HAMILTON (Kanada): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin memberi amaran bahawa meskipun misi penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara disambung semula di Gaza, ia kekal sebagai langkah terakhir dan membawa risiko kepada orang awam di kawasan terjejas, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Walaupun kami mengalu-alukan semua usaha untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang sangat memerlukannya, agensi-agensi PBB dan rakan pelaksana mengingatkan bahawa guguran udara adalah pilihan terakhir dan boleh membahayakan orang awam di darat," kata jurucakap PBB Farhan Haq dalam satu sidang media.
Beliau memaklumkan, terdapat kecederaan dilaporkan pada Ahad apabila bantuan jatuh di atas khemah.
Haq menjelaskan, PBB tidak terlibat secara langsung dalam operasi yang sedang berlangsung, namun tetap menyambut baik segala usaha bantuan diberikan."Namun, anda tidak mungkin dapat menyalurkan lebih banyak bantuan melalui udara berbanding konvoi jalan raya," katanya.
Mengulas keputusan terbaharu Israel untuk mempermudah pergerakan konvoi bantuan, Haq berkata, daripada 17 misi yang memerlukan koordinasi dengan pihak berkuasa Israel, lapan telah dibenarkan termasuk dari Kerem Shalom, manakala tiga ditolak dan dua dibatalkan."
"Empat misi, termasuk penghantaran makanan, menghadapi halangan namun berjaya diselesaikan," katanya.
Beliau turut menegaskan, sekatan lama oleh Israel terhadap kemasukan bantuan telah mewujudkan suasana yang tidak menentu dan menyebabkan komuniti hilang keyakinan bahawa bantuan akan sampai kepada mereka.
"Akibatnya, banyak konvoi kami telah dirampas secara terus oleh orang awam yang kelaparan dan terdesak.
"Semalam, orang awam yang kelaparan telah memunggah bekalan makanan sebelum ia sempat sampai ke lokasi sasaran," katanya.
Haq turut menekankan keperluan mendesak untuk memastikan akses kemanusiaan yang berterusan dan selamat ke Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Isnin, seramai 1,175 orang terbunuh dan 7,758 cedera ketika menunggu bantuan sejak 27 Mei lalu.
Kementerian turut melaporkan, 14 lagi rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, menjadikan jumlah kematian sejak 7 Okt 2023 meningkat kepada 147 orang -- termasuk 88 kanak-kanak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami