HONG KONG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun nyaris maut selepas bapanya mencampakkannya dari atas bumbung sebuah pusat membeli- belah enam tingkat di Kowloon City.

Tindakan itu dibuat selepas bapanya dikatakan gagal melunaskan hutang akibat ketagihan berjudi sehingga memaksanya melemparkan anaknya dari bangunan setinggi enam tingkat itu.

Difahamkana, budak itu berada dalam keadaan kritikal dan sedang bertarung dengan nyawa di unit rawatan rapi (ICU) di Queen Elizabeth Hospital.

Rakaman kamera CCTV menunjukkan detik-detik cemas apabila bapa berusia 58 tahun bersama anak lelakinya sedang duduk atas bahunya dan menghampiri bumbung pusat membeli -belah yang terletak di Jalan Carpenter pada malam Isnin baru-baru ini.

Kemudian, kelihatan lelaki itu mencampakkan anaknya dari bumbung bangunan sebelum terjun bersama-sama.

Lelaki itu yang juga seorang pemandu teksi dan anaknya ditemui orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri di lorong terletak bersebelahan dengan pusat membeli -belah itu.

Ketika petugas keselamatan bertungkus-lumus menyelamatkan kanak-kanak malang itu.

Bagaimanapun, ayahnya disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Kwong Wah.

Sementara itu, bekas isteri pemandu teksi mendedahkan lelaki itu mengalami ketagihan berjudi dan dibebani hutang banyak.

Dalam satu sidang media, Ketua Inspektor Law Chin-hon dari unit jenayah daerah Kowloon City menyatakan bahawa ketagihan judi dan hutang bertimbun dipercayai menjadi punca tindakan untuk terjun dari bangunan tersebut. - Agensi/ Sinar Harian