KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar bertindak kejam apabila sanggup membunuh dua anak lelakinya yang berusia anggaran enam dan tujuh tahun dengan mencampakkan mereka dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kepong berhampiran lampu isyarat Desa Jaya, di sini, pagi Selasa. 

Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berusia 38 tahun itu kemudiannya dipercayai terjatuh dari lokasi yang sama, iaitu dari ketinggian kira-kira 20 meter.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, lelaki berkenaan dilihat berjalan di lebuh raya itu sambil mendukung seorang kanak-kanak sementara dua lagi mangsa dipimpin di tangan kanan dan kirinya.

"Apabila seorang saksi cuba menghampirinya, suspek secara tiba-tiba bertindak mencampak kesemua tiga anaknya sebelum dia terjatuh," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Eng Lai memaklumkan, suspek dan dua anak lelakinya mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah sementara seorang lagi anak perempuan yang berusia lapan tahun dihantar ke Hospital Selayang, di sini untuk mendapat rawatan.

Beradasarkan pemeriksaan pegawai perubatan katanya, anak perempuannya itu mengalami kecederaan dalaman di perut dan keretakan di bahagian rusuk kirinya.

Mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Ujar beliau, setakat ini polis masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung ibu kepada mangsa.

Beliau memberitahu, mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Kes iu katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superitendan Baldev Singh Gurdial Singh di talian 012-480 6062 atau balai polis berhampiran dengan segera.