Skip to main content

Dunia

Bapa dipenjara enam bulan kerana ugut bunuh guru anak di Perancis

Generic Penjara
Bapa di Perancis dipenjara enam bulan selepas mengugut bunuh guru yang mendisiplinkan anaknya di sekolah. - Gambar hiasan
Advertisement

PARIS: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Perancis selepas didapati bersalah mengugut untuk membunuh seorang guru sekolah rendah yang telah mendisiplinkan anak lelakinya di sebuah sekolah di kampung Le Fauga, berhampiran Toulouse.

Hukuman itu diputuskan menerusi perbicaraan ringkas pada Khamis, enam hari selepas insiden berkenaan berlaku di kampung yang mempunyai kira-kira 2,600 penduduk itu.

Menurut pihak berkuasa pendidikan tempatan, kejadian tercetus selepas pihak sekolah memanggil bapa berkenaan untuk membincangkan tingkah laku anaknya yang dikatakan mengganggu suasana pembelajaran di dalam kelas.

Datuk Bandar Le Fauga, Jean-Marie Puig, berkata murid terbabit telah dihantar ke kelas lain bagi menenangkan keadaan selepas berkelakuan tidak terkawal.

Namun, kanak-kanak itu didakwa terus mengganggu kelas.

Laporan media tempatan menyebut seorang guru telah menegur murid itu dan memintanya berhenti berkelakuan seperti pembuli kecil.

Susulan itu, bapa murid berkenaan didakwa menunggu guru terbabit di luar kawasan sekolah sebelum mengeluarkan ugutan serius terhadapnya.

Walaupun lelaki itu kemudiannya memohon maaf, satu laporan polis telah dibuat dan kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Guru terbabit kini diberikan perlindungan rasmi oleh pihak berkuasa dan mengambil cuti sakit susulan kejadian itu.

Menteri Pendidikan Perancis, Edouard Geffray, menegaskan bahawa tiada guru sepatutnya berasa takut untuk menjalankan tugas mereka.

Beliau berkata serangan atau ugutan terhadap guru merupakan serangan terhadap institusi pendidikan negara.

Kes itu turut menjadi antara yang pertama melibatkan pelaksanaan undang-undang baharu yang diperkenalkan pada Julai lalu bagi melindungi kakitangan sekolah daripada ancaman keselamatan atau risiko kesihatan yang berpunca daripada ahli keluarga pelajar.

Di bawah peraturan baharu itu, pelajar boleh dipindahkan ke sekolah lain sekiranya berlaku ancaman serius terhadap warga sekolah.

Media tempatan melaporkan anak lelaki terbabit dan adik perempuannya mungkin dipindahkan ke sekolah lain di luar Le Fauga.

Insiden berkenaan menghidupkan kembali kenangan pahit di Perancis terhadap kes pembunuhan guru Samuel Paty pada 2020, yang mencetuskan kebimbangan berterusan mengenai keselamatan pendidik ketika menjalankan tugas mereka.

 

 

Must Watch Video

Advertisement