Skip to main content
Advertisement

Dunia

Bapa ditahan disyaki campak dua anak dari balkoni tingkat enam di Jepun

Person in handcuffs with blurred police lights in the background at night: FOTO: ADOBE STOCK
Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan pada Sabtu kerana disyaki mencampakkan dua anak perempuannya dari balkoni pangsapuri tingkat enam di Wilayah Gifu, tengah Jepun. - Foto hiasan
Advertisement

GIFU (JEPUN): Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan pada Sabtu kerana disyaki mencampakkan dua anak perempuannya dari balkoni pangsapuri tingkat enam di Wilayah Gifu, tengah Jepun, lapor Kyodo News memetik polis.

Polis tiba di lokasi selepas isteri lelaki berkenaan menghubungi talian kecemasan lewat malam Jumaat dan melaporkan bahawa suaminya bertindak ganas.

Anggota polis sempat menyediakan tilam keselamatan bagi mengurangkan impak jatuh kedua-dua kanak-kanak berusia empat tahun dan setahun itu.

Kedua-duanya berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital dan dipercayai tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

Bapa kanak-kanak berkenaan, Tomokazu Miura, seorang pekerja sambilan ditahan di tempat kejadian kerana disyaki cuba membunuh.

Menurut polis, suspek tinggal bersama isteri dan dua anak perempuannya.

Polis mengarahkan Miura keluar dari pangsapuri selepas menerima panggilan kecemasan daripada isterinya.

Polis menyerbu masuk ke pangsapuri berkenaan pada awal pagi Sabtu, selepas suspek enggan mematuhi arahan itu. 

Miura dipercayai mencampakkan kedua-dua anak perempuannya dari balkoni ketika kejadian itu berlaku.

Polis berkata suspek berdiam diri ketika disoal siasat.

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video

Advertisement