Skip to main content

Dunia

Bawa masuk skru pun tidak boleh, bagaimana mahu bina semula Gaza? – Ahmad Fahmi

Kemusnahan dan runtuhan bangunan di Gaza berikutan serangan tentera rejim Israel ke atas kawasan pendudukan awam. - foto/REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Kemusnahan dan runtuhan bangunan di Gaza berikutan serangan tentera rejim Israel ke atas kawasan pendudukan awam. - foto/REUTERS/Dawoud Abu Alkas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Usaha membina semula Gaza berdepan cabaran besar selagi akses kepada bahan asas dan keperluan pemulihan terus dibataskan, kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Ahmad Fahmi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia berkata, terdapat bantuan makanan yang dibenarkan masuk, namun sebahagiannya tidak memenuhi keperluan sebenar masyarakat yang berdepan kekurangan makanan berkhasiat, ubat-ubatan, kemudahan kesihatan dan keperluan asas lain.

“Bantuan yang masuk itu dalam bentuk barangan yang kita kata tidak sihat seperti coklat dan gula-gula.

“Banyak benda-benda yang sebenarnya kalau dimakan boleh jejaskan  kesihatan; ia akan menyebabkan kita (penduduk Gaza) ada penyakit lain,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Ahmad Fahmi berkata, sekatan terhadap bahan yang boleh digunakan untuk pembinaan turut menyukarkan sebarang usaha pemulihan dalam jangka panjang.

“Kita hendak bercakap tentang pembinaan semula Gaza, sangat-sangat mustahil apabila hendak bawa masuk skru pun tidak boleh,” katanya.

Beliau menjelaskan, barangan untuk kerja-kerja pembinaan juga berdepan sekatan kerana didakwa rejim Zionis boleh digunakan untuk tujuan lain termasuk sebagai senjata.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan penduduk Gaza terus bergantung kepada bantuan kecemasan sedangkan keperluan mereka telah berkembang daripada kelangsungan hidup harian kepada pemulihan tempat tinggal, kemudahan kesihatan dan infrastruktur asas.

Pada masa sama, beliau berkata operasi hospital turut berdepan kekangan termasuk dari segi bekalan tenaga, peralatan perubatan dan kemampuan memberikan rawatan susulan kepada pesakit yang memerlukan penjagaan lebih kompleks.

Ahmad Fahmi berpandangan bantuan kecemasan dan usaha pemulihan perlu dilaksanakan serentak kerana keperluan asas penduduk tidak boleh ditangguhkan sementara menunggu proses pembinaan semula dilaksanakan.

Beliau turut menegaskan cabaran utama bukan semata-mata soal mendapatkan dana kerana terdapat pelbagai organisasi dan jaringan kemanusiaan yang bersedia menyalurkan bantuan.

Sebaliknya, katanya, akses kepada Gaza dan kemampuan membawa masuk barangan yang benar-benar diperlukan menjadi antara kekangan utama dalam memastikan bantuan dapat memenuhi keperluan penduduk di lapangan. 

Agenda AWANI: Tiga Tahun Genosid, Gaza Terus Menderita

Must Watch Video

Advertisement