Seorang lelaki terkejut apabila menemui seorang bayi sedang merangkak atas jalan raya di Lakewood, New Jersey.

Cory Cannon, yang memandu trak untuk ke tempat kerja ketika itu pada mulanya menyangkakan bayi berkenaan adalah patung mainan.

Bagaimanapun, kerana sikap ingin tahu dan peka, dia mula memperlahankan kenderaannya.

Apabila menyedari objek bergerak itu adalah seorang bayi, dia terus menyelamatkannya daripada digilis kenderaan yang lalu lalang.

Nasib baik juga had laju di kawasan itu adalah 40 kilometer sejam.

Bayi itu kemudian diserahkan kepada keluarganya yang tinggal tidak jauh dari dia ditemui.

Dia dipercayai merangkak keluar dari pintu yang terbuka dari rumah ibu bapanya.

Polis New Jersey dalam pada itu turut melakukan siasatan terhadap insiden tersebut.

Gambar bayi berkenaan juga tular di media sosial dan Cannon menonjolkannya sebagai usaha untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa agar peka dengan keselamatan anak-anak mereka.