Skip to main content

Dunia

BBC umum kurangkan 550 jawatan dalam dua tahun, mula laksana pelan penjimatan 500 juta pound

BBC mengumumkan pengurangan 550 jawatan melibatkan bahagian berita, siaran wilayah serta kandungan televisyen dan radio sebagai sebahagian fasa awal pelan penjimatan bernilai 500 juta pound dalam tempoh dua tahun akan datang. - Gambar fail
BBC mengumumkan pengurangan 550 jawatan melibatkan bahagian berita, siaran wilayah serta kandungan televisyen dan radio sebagai sebahagian fasa awal pelan penjimatan bernilai 500 juta pound dalam tempoh dua tahun akan datang. - Gambar fail
Advertisement

LONDON: Stesen penyiaran awam United Kingdom, BBC mengumumkan pengurangan 550 jawatan melibatkan bahagian berita, siaran wilayah serta kandungan televisyen dan radio sebagai sebahagian fasa awal pelan penjimatan bernilai 500 juta pound dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dalam e-mel kepada kakitangan, Ketua Pegawai Eksekutif sementara BBC News, Jonathan Munro memaklumkan, cadangan termasuk penamatan program The World Tonight di Radio 4, selain pengurangan jumlah penyampai tetap program Today daripada lima kepada empat bermula September, dengan hanya seorang penyampai pada Sabtu.

Program Breakfast di BBC One juga tidak lagi disiarkan pada pagi Ahad mulai September, manakala pasukan produksi bagi program Sunday with Laura Kuenssberg dan Newsnight akan digabungkan.

Advertisement

Munro berkata, cadangan diumumkan pada Rabu itu melibatkan pengurangan 200 jawatan dalam divisyen berita, sekali gus menjimatkan kira-kira 25 juta pound.

Sebahagian produksi televisyen pada hujung minggu akan dikongsi antara Saluran Berita BBC dan buletin BBC One, selain semakan semula peranan penyampai utama berita bagi “mengimbangi keperluan penonton dengan nilai kos terbaik.”

Advertisement

Beberapa program lain di Radio 4 turut akan dihentikan dalam tempoh setahun akan datang, termasuk Midnight News, Money Box Live, AntiSocial, The Law Show dan Crossing Continents. Di World Service pula, program The Inquiry, The Conversation dan The Fifth Floor akan ditamatkan.

Pengurangan jumlah penyampai Today itu turut berlaku seiring dengan pengumuman terdahulu mengenai pemergian Amol Rajan yang dijadual meninggalkan program berkenaan pada September.

Mulai April, slot The World Tonight akan digantikan dengan buletin domestik pada jam 10 malam di Radio 4 pada hari bekerja, diikuti siaran serentak program World Service, Newshour, pada waktu baharu. Sementara itu, 5 Live Weekend Breakfast akan diubah menjadi program dua jam.

Penonton pagi Ahad pula akan disajikan Saluran Berita menggantikan Breakfast.
Langkah penstrukturan lain

Antara cadangan lain termasuk:

  • Kajian semula saluran televisyen dan rangkaian radio susulan perubahan tabiat penonton ke platform digital
  • Pengurangan 100 hingga 150 jam program baharu merentasi semua genre menjelang tahun kewangan 2027-2028
  • Pengurangan sekitar 350 hingga 400 jam kandungan audio
  • Siaran Newsnight edisi Jumaat dipindahkan ke slot waktu puncak pada jam 7 malam di BBC Two
  • Penekanan kandungan lebih antarabangsa untuk Saluran Berita
    Operasi bahagian InDepth laman berita dengan pasukan lebih kecil

BBC yang mempunyai kira-kira 21,500 kakitangan sepenuh masa memperoleh sebahagian besar pendapatannya melalui fi lesen, namun jumlah lesen TV yang dijual semakin menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Pengarah BBC, Matt Brittin berkata, langkah penjimatan itu dijangka menyumbang kira-kira 160 juta pound daripada sasaran keseluruhan 500 juta pound, yang akan melibatkan pengurangan sekitar 1,800 hingga 2,000 jawatan.

Dalam e-melnya kepada kakitangan, beliau berkata: “Skala penjimatan ini memerlukan keputusan sukar dan perancangan teliti, dan tidak semuanya dapat dilaksanakan serentak.”

Beliau turut memaklumkan, jumlah pemimpin kanan di BBC akan dikurangkan sebanyak 10 peratus dengan lebih banyak langkah penjimatan dijangka diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, termasuk di bahagian korporat melibatkan kira-kira 700 jawatan. 

Kritikan kesatuan sekerja

Kesatuan media dan hiburan Bectu menyifatkan waktu pelaksanaan pemotongan itu “tidak ideal” memandangkan ia berlaku serentak dengan proses pembaharuan piagam BBC yang akan tamat pada 2027.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) pula menyifatkan cadangan pemotongan tersebut sebagai “memberi kesan buruk kepada penonton dan komuniti.”

Bekas penyampai The World Tonight, Robin Lustig turut meluahkan rasa sedih dengan penamatan program itu yang disifatkan mempunyai sejarah panjang dalam kewartawanan BBC.

Munro bagaimanapun berkata, keputusan menamatkan program berusia 56 tahun itu adalah sukar, tetapi langkah itu dilihat lebih efisien kerana program Newshour boleh memenuhi keperluan dua khalayak berbeza daripada bilik berita yang sama. - BBC

Must Watch Video

Advertisement