ANKARA: Perlumbaan penamat musim Formula Satu (F1) di Qatar dan Abu Dhabi akan diteruskan mengikut jadual walaupun terdapat ketegangan di Asia Baear, kata Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) Mohammed Ben Sulayem pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Grand Prix Qatar dijadualkan berlangsung pada 29 Nov di Litar Antarabangsa Lusail, disusuli perlumbaan penutup tirai Abu Dhabi di Litar Yas Marina pada 6 Dis.
“Kami sudah bersedia untuk Qatar dan Abu Dhabi,” tulis Ben Sulayem menerusi hantaran di Instagram.
“Kami bersedia sepenuhnya dan komited untuk menyajikan dua hujung minggu grand prix yang luar biasa serta penutup yang menakjubkan bagi Kejohanan Dunia Formula Satu.”
Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan pemandu, pasukan dan peminat ke dua litar ikonik ini bagi mengakhiri musim yang sukar dilupakan,” katanya.
Pengumuman itu dibuat susulan gangguan terhadap pusingan terdahulu berikutan tercetusnya perang antara AS-Israel dengan Iran. Grand Prix Arab Saudi telah dibatalkan, manakala pusingan Bahrain dipindahkan ke Malaysia.
Ben Sulayem dalam satu temu bual berasingan bersama The National berkata badan induk berkenaan terus memantau perkembangan serantau bersama pihak berkuasa, pasukan dan pihak berkepentingan lain.
Beliau berkata penilaian itu mengambil kira nasihat keselamatan, keadaan perjalanan serta keperluan operasi, dengan keselamatan para peserta kekal menjadi keutamaan FIA.
Kedua-dua gelaran Juara Dunia Formula Satu telah pun dimuktamadkan. Pemandu Mercedes dari Itali, Kimi Antonelli, telah mengesahkan kejuaraan kategori pemandu, manakala Mercedes merangkul kejuaraan kategori pengeluar pada Grand Prix Sao Paulo hujung minggu lepas.
Kejohanan seterusnya akan menuju ke Las Vegas bagi perlumbaan pada 21 Nov sebelum dua pusingan terakhir di Qatar dan Abu Dhabi.
-- BERNAMA-ANADOLU