GAZA: Pemotongan bekalan elektrik yang berterusan di Semenanjung Gaza telah mencairkan stok aiskrim, memaksa kedai-kedai menghentikan penjualannya biarpun permintaan semakin meningkat susulan cuaca panas.

Dengan suhu musim panas mencecah 34 darjah Celsius, aiskrim sangat popular dan boleh dibeli dengan harga yang agak murah di Gaza, yang menempatkan 2.3 juta penduduk.

Tetapi pemilik kedai barangan runcit berkata mereka terpaksa berhenti menjualnya walaupun mendapat permintaan tinggi pelanggan.

"Separuh daripada stok aiskrim cair. Apa yang perlu saya lakukan dengan aiskrim yang cair? Memang rugi," kata pemilik pasar raya, Fouad Awadallah kepada Reuters.

Gaza biasanya memerlukan kira-kira 500 megawatt bekalan elektrik setiap hari pada musim panas yang bermula dari Jun hingga Ogos, kata pegawai tempatan. Ia bagaimanapun hanya menerima 120 megawatt daripada Israel manakala loji janakuasa tunggal Enklaf membekalkan 60 megawatt lagi.

Ini bermakna penduduk hanya mempunyai kira-kira 11 jam elektrik sehari, malah bekalan itu juga tidak stabil dan kerap terputus.

Di Kedai Aiskrim Kazem, salah satu kedai barangan runcit yang terkenal di wilayah itu, pemiliknya Mohammad Abu Shaban berkata, dia terpaksa menggunakan generator yang mahal untuk meneruskan perniagaan.

"Saya tidak boleh mematikan penjana walaupun untuk seminit apabila bekalan elektrik terputus," katanya.