Skip to main content

Dunia

Bekas menteri minyak Nigeria dibebaskan daripada tuduhan rasuah di UK

FILE PHOTO: Nigeria’s former oil minister Diezani Alison-Madueke leaves Westminster Magistrates Court this afternoon in London, Britain, October 02, 2023. REUTERS/ Belinda Jiao/File Photo
Diezani Alison-Madueke ketika meninggalkan Mahkamah Majistret Westminster di London, United Kingdom. - Foto REUTERS

LONDON: Bekas Menteri Petroleum Nigeria, Diezani Alison-Madueke dibebaskan daripada semua pertuduhan rasuah oleh mahkamah di United Kingdom selepas perbicaraan berprofil tinggi yang berlangsung selama beberapa bulan.

Juri di Mahkamah Southwark Crown, London, mendapati wanita berusia 65 tahun itu tidak bersalah atas lima pertuduhan menerima rasuah serta satu pertuduhan bersubahat melakukan rasuah.

Keputusan tersebut menandakan penutup kepada siasatan panjang selama lebih 10 tahun yang dijalankan oleh Agensi Jenayah Kebangsaan Britain (NCA) terhadap salah seorang tokoh politik paling berpengaruh di Afrika.

Pendakwaan sebelum ini mendakwa Alison-Madueke menerima pelbagai manfaat mewah daripada ahli perniagaan industri minyak dan gas sebagai balasan mempengaruhi kontrak kerajaan Nigeria.

Antara yang didakwa termasuk penginapan di hartanah mewah di London, penerbangan jet peribadi, kenderaan dengan pemandu serta perbelanjaan membeli-belah mahal yang mencecah jutaan pound sterling.

Bagaimanapun, pihak pendakwa gagal membuktikan bahawa beliau memberi kontrak kepada mana-mana pihak sebagai balasan rasuah, sekali gus melemahkan kes tersebut di mahkamah.

Sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan mempersoalkan keadilan kes tersebut, termasuk dakwaan bahawa dokumen penting yang boleh membela Alison-Madueke hilang di Nigeria.

Mereka turut mengkritik kelewatan bertahun-tahun sebelum kes dibawa ke mahkamah, menyifatkannya sebagai kegagalan dalam sistem keadilan jenayah Britain.

Alison-Madueke sendiri menegaskan bahawa beliau tidak pernah meminta atau menerima sebarang rasuah sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Mahkamah turut membebaskan dua individu lain yang terlibat dalam kes tersebut, iaitu abang Alison-Madueke, Doye Agama, serta eksekutif industri minyak, Olatimbo Ayinde, daripada semua pertuduhan.

Ayinde sebelum ini didakwa walaupun berperanan sebagai pemberi maklumat dalam siasatan rasuah di Nigeria.

Sepanjang perbicaraan, Alison-Madueke menggambarkan dirinya sebagai pegawai yang tegas mematuhi peraturan sehingga digelar “Madam Due Process”.

Beliau pernah mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Menteri Petroleum Nigeria (2010–2015) serta menjadi Presiden Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada 2014.

Dalam kenyataan selepas keputusan mahkamah, Alison-Madueke menyifatkan pembebasannya sebagai penamat kepada penderitaan panjang.

“Selama 11 tahun, kes ini menghantui saya dan keluarga. Hari ini segala tuduhan dan tekanan itu akhirnya berakhir,” katanya.

Keputusan mahkamah dilihat sebagai tamparan kepada pihak berkuasa Britain, khususnya NCA, yang menjalankan siasatan terhadap kes ini selama lebih sedekad.

Kes ini juga menimbulkan persoalan lebih luas mengenai kesukaran membuktikan rasuah melibatkan tokoh politik berprofil tinggi, terutama apabila ia merentasi sempadan negara dan melibatkan bukti yang kompleks.

Walaupun dibebaskan di UK, kes tersebut terus menjadi perhatian di Nigeria dan peringkat antarabangsa, memandangkan reputasi Alison-Madueke sebagai antara individu paling berpengaruh dalam sektor minyak global.
 

 

Must Watch Video

Advertisement