ISTANBUL: Bekas Presiden Armenia Robert Kocharyan dan anak lelakinya ditahan pada Selasa dalam satu siasatan rasuah, lapor Anadolu Ajansi yang memetik pihak berkuasa tempatan.
Jawatankuasa Antirasuah Armenia berkata Kocharyan, yang bertindak bersama individu yang rapat dengannya, menggunakan kedudukan rasminya untuk memperoleh hartanah berharga milik negara melalui alasan yang direka-reka dan pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran.
Penyiasat berkata hartanah berkenaan didaftarkan atas nama syarikat yang mempunyai kaitan dengan mereka bagi menyembunyikan pemilikan dan asal-usulnya sebelum dibangunkan, dijual atau dipindahkan kepada pihak ketiga.
Penyiasat berkata sebanyak 56 hartanah bernilai 2.634 bilion dram Armenia (US$7.2 juta) didakwa dipindahkan kepada Kocharyan sebagai rasuah.
“Bagi menyembunyikan pemilikan sebenar dan asal-usulnya, aset didaftarkan melalui kontrak jualan rasmi atas nama anggota keluarga bekas presiden dan organisasi yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Tanah milik Kementerian Pertahanan Armenia didakwa dijual kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan individu yang rapat dengan bekas presiden pada harga hanya satu perempat daripada nilai pasaran.
Penyiasat berkata pegangan 30 peratus dalam Toyota Yerevan didakwa dipindahkan kepada presiden ketika itu sebagai rasuah dan kemudiannya didaftarkan atas nama anak lelakinya melalui perjanjian jualan palsu bagi menyembunyikan asal-usulnya.
Seramai enam individu ditahan dalam kes berkenaan.
Pihak berkuasa turut meneliti pemindahan wang kepada anak Kocharyan antara 2001 hingga 2019, melibatkan jumlah kira-kira 144 bilion dram (US$397 juta), US$309 juta, €77 juta (US$90 juta) dan 18 juta rubel Rusia (US$212,950), selain pemerolehan lebih 36 hartanah di Armenia dan luar negara yang dimiliki individu yang dikaitkan dengan kes itu serta anggota keluarga mereka.
“Bagi menghalang kemungkinan pemindahan atau pelupusan aset, langkah sewajarnya diambil untuk mengenakan sekatan ke atas aset berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Kocharyan berkhidmat sebagai Presiden Armenia dari 1998 hingga 2008.
Beliau sebelum ini pernah berdepan pertuduhan jenayah, termasuk berhubung tindakan keras terhadap demonstrasi pada 2008 dan dakwaan rasuah. Kedua-dua kes itu digugurkan pada 2021.
Beliau berdepan pertuduhan rasuah baharu pada musim panas ini dalam kes membabitkan pajakan sebidang tanah di ibu negara Yerevan pada 2004. Kocharyan, yang parti Armenia Alliance pimpinannya menduduki tempat ketiga dalam pilihan raya parlimen pada Jun lepas, turut kehilangan kekebalan parlimen pada bulan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU