DUNIA
Bekas Presiden Colombia dihukum tahanan rumah 12 tahun atas kesalahan rasuah saksi

Penyokong memakai topeng wajah bekas Presiden Alvaro Uribe ketika menyertai protes di Bogota, Colombia, pada 28 Julai. - Gambar AP
BOGOTA: Bekas Presiden Colombia, Alvaro Uribe, dijatuhi hukuman 12 tahun tahanan rumah selepas disabitkan bersalah atas kesalahan mempengaruhi saksi dan rasuah, sekali gus menjadi bekas Presiden pertama negara itu yang dihukum dalam perbicaraan jenayah.
Mahkamah turut mengenakan denda berjumlah AS$578,000 (kira-kira RM2.7 juta) serta larangan memegang sebarang jawatan awam selama lebih lapan tahun.
Uribe, 73, yang sebelum ini menafikan sebarang salah laku, telah diarahkan oleh hakim untuk melaporkan diri kepada pihak berkuasa di bandar kelahirannya, Rionegro, sebelum menjalani hukuman tahanan di kediamannya seperti diarahkan Hakim Sandra Liliana Heredia.
Barisan peguamnya bagaimanapun telah menyatakan hasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.Keputusan yang diumumkan selepas enam bulan perbicaraan itu merupakan kemuncak kepada lebih satu dekad siasatan dan pertikaian undang-undang terhadap tokoh konservatif berpengaruh itu, yang pernah menerajui Colombia dari 2002 hingga 2010.
Sepanjang pentadbirannya, Uribe dikenali dengan pendekatan keras terhadap kumpulan pemberontak seperti Angkatan Revolusi Colombia (FARC), namun turut berdepan kecaman hebat berhubung dakwaan pencabulan hak asasi manusia.
Ketika itu, tentera Colombia dikatakan terlibat dalam skandal “false positives”, iaitu pembunuhan ke atas orang awam yang kemudiannya disamarkan sebagai pejuang musuh bagi meningkatkan statistik kejayaan ketenteraan.
Sekurang-kurangnya 2,000 kematian disyaki berkaitan dengan amalan itu, dan siasatan mendedahkan jumlahnya boleh mencecah lebih 6,400 orang.
Uribe juga pernah dikaitkan dengan hubungan sulit bersama kumpulan paramilitari sayap kanan, namun beliau menafikan semua tuduhan tersebut.
Kes mahkamah ini bermula lebih sedekad lalu apabila Uribe bertindak memfailkan saman fitnah terhadap Senator Ivan Cepeda yang ketika itu sedang menyiasat kaitannya dengan kumpulan paramilitari Bloque Metro.
Namun pada 2018, Mahkamah Agung Colombia menolak saman Uribe, dan sebaliknya membuka kertas siasatan terhadap beliau.
Taktik tekanan saksi jadi isu utama
Pendakwa raya mendakwa Uribe cuba memanipulasi keterangan saksi dengan menghantar peguamnya, Diego Cadena, untuk memujuk bekas anggota paramilitari menarik balik kenyataan mereka – termasuk didakwa menawarkan wang kepada saksi.
Cadena kini turut berdepan pertuduhan jenayah.
Beberapa kenyataan saksi itu juga digunakan dalam perbicaraan pembunuhan yang melibatkan adik Uribe, Santiago Uribe.
Dalam prosiding mahkamah selama 10 jam pada 28 Julai lalu, Hakim Heredia menyatakan terdapat bukti kukuh bahawa Uribe secara aktif cuba mempengaruhi keterangan saksi.
Campur tangan politik AS cetus kontroversi
Keputusan itu bagaimanapun mencetuskan reaksi politik di Amerika Syarikat, dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio – sekutu rapat Presiden Donald Trump – menyelar keputusan mahkamah Colombia dan menuduh sistem kehakiman negara itu "dipersenjatakan" oleh hakim radikal.
“Kesalahan sebenar Uribe hanyalah mempertahankan tanah airnya,” kata Rubio dalam kenyataan di media sosial.
Namun, kenyataan itu dikecam ahli politik Demokrat yang menuduh pentadbiran Trump campur tangan dalam sistem kehakiman asing demi kepentingan politik.
“Ini satu penghinaan kepada prinsip kedaulatan undang-undang,” kata Ahli Kongres Jim McGovern.
Uribe masih menegaskan beliau tidak bersalah dan kes ini dijangka terus menjadi tumpuan dalam menjelang Pilihan Raya Presiden Colombia yang dijadual berlangsung Mei 2026. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami