Skip to main content

Dunia

Bekas profesor Cambridge Jason Arday ditemui meninggal dunia

Jason Arday_FB Eng-Ahmed Baasaay
Jason Arday merupakan profesor kulit hitam termuda dilantik dalam sejarah Universiti Cambridge pada 2023 menerusi jawatan Profesor Sosiologi Pendidikan. - Foto Facebook Ahmed Baasaay
Advertisement

AHLI akademik Britain, Jason Arday, yang meletak jawatan sebagai profesor di Universiti Cambridge minggu lalu susulan kontroversi dakwaan plagiat, ditemukan meninggal dunia di kediamannya di selatan London pada Jumaat.

Polis Metropolitan London memaklumkan, pegawai dikerahkan ke alamat Arday di Battersea, selepas menerima panggilan daripada Perkhidmatan Ambulans London sekitar jam 3 petang waktu tempatan.

Polis berkata kematian itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun setakat ini tidak dianggap mempunyai unsur jenayah atau mencurigakan.

Menurut pihak berkuasa, siasatan masih diteruskan dan laporan akan diserahkan kepada koroner untuk tindakan lanjut.

Keluarga Arday dalam satu kenyataan menyatakan mereka masih terkejut dengan kehilangan ahli keluarga yang disayangi itu. 

Mereka mendakwa Arday, 41 tahun, telah berdepan serangan emosi berterusan serta penyebaran maklumat yang tidak benar mengenainya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Jason merupakan seorang yang lembut dan sentiasa mahu melihat kebaikan dalam setiap orang.

“Kami terkejut dengan kehilangan seorang bapa, pasangan, abang, bapa saudara dan anak yang luar biasa ini,” menurut keluarga itu.

Arday mencipta sejarah apabila dilantik sebagai profesor kulit hitam termuda dalam sejarah Universiti Cambridge pada 2023, ketika berusia 37 tahun, menerusi jawatan Profesor Sosiologi Pendidikan.

Bagaimanapun, beliau meletakkan jawatan pada 5 Ogos lalu selepas berdepan dakwaan plagiat dalam kerja akademiknya serta persoalan mengenai beberapa kenyataan berkaitan pencapaian peribadi dan kerjayanya. 

Arday menafikan dakwaan plagiat tersebut, tetapi mengakui terdapat beberapa kesilapan dalam hasil kerjanya.

Dalam surat peletakan jawatannya, Arday berkata tuduhan, spekulasi dan komen awam yang berterusan, telah memberi kesan mendalam terhadap dirinya serta keluarga.

Naib Canselor Universiti Cambridge, Profesor Deborah Prentice, menyatakan universiti itu amat berdukacita dengan berita berkenaan dan merakamkan takziah kepada keluarga serta rakan-rakan Arday.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan, turut menyifatkan kematian Arday sebagai satu tragedi dan menyatakan ahli akademik itu telah berdepan kempen serangan awam yang tidak sepatutnya berlaku.

Must Watch Video

Advertisement