Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: “Seronok tengok bendera..” - Strok tidak halang pengundi pertama kali

Syamsinar ditemani ahli keluarga hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi DUN Tanjung Bidarayamsinar ditemani ahli keluarga hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi DUN Tanjung Bidara. - Gambar Astro AWANI
Syamsinar ditemani ahli keluarga hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi DUN Tanjung Bidarayamsinar ditemani ahli keluarga hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi DUN Tanjung Bidara. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

MASJID TANAH: Biarpun sedang berjuang melawan penyakit strok dan terpaksa menggunakan kerusi roda, Syamsinar Abdullah Abd Rahman, 21, tetap gagahkan diri keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

Ditemani keluarga, Syamsinar enggan melepaskan peluang sebagai pengundi pertama kali dan hadir ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Penuntut di IJN University College itu hadir dalam keadaan serba terbatas akibat masalah kesihatan yang dialaminya sejak lebih setahun lalu.

Advertisement

“Saya teruja nak datang mengundi… walaupun sakit. Seronok tengok banyak bendera… biru-biru,” ujarnya ringkas katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Jeram, di sini.

Berkongsi keadaan Syamsinar, bapanya, Abdullah Abd Rahman, 71, berkata, anak bongsunya itu sebelum ini tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit.

Advertisement

Bagaimanapun, Syamsinar dikesan mengalami pendarahan otak ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada Julai tahun lepas.

“Pada 11 Julai 2025, lebih kurang pukul 7.30 malam, dia sedang memandu dari Alor Gajah untuk balik ke rumah. Sampai di depan Sekolah Sungai Tuang, dia mengadu sakit dada sebelum menghubungi kakaknya.

“Kakaknya suruh dia berhenti dan parkir kereta dahulu. Saya kemudian datang untuk ambil dia, tetapi ketika sampai, dia sudah pengsan,” jelasnya.

Abdullah berkata, anaknya menjalani pembedahan di Hospital Melaka sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk menjalani satu lagi pembedahan.

“Lebih dua bulan dia menerima rawatan di hospital, kira-kira dua bulan 17 hari. Sekarang setiap bulan kami masih perlu membawanya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka dan Hospital Alor Gajah,” jelasnya.

Abdullah menambah, dia menguruskan Syamsinar sepenuh masa dengan bantuan adik-beradik lain, selain perlu menanggung keperluan harian termasuk lampin pakai buang dan kos ulang-alik mendapatkan rawatan.

Katanya, keluarga setakat ini menerima bantuan kewangan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Harapan memang tinggilah. Kami minta bantuan terutama dari segi kewangan kerana kos penjagaan dan rawatan. Lampin dia pun kadang-kadang tidak cukup.

“Kalau boleh, bantuan itu dipertingkatkan lagi supaya dapat meringankan beban keluarga,” ujarnya.

Bagi PRN Melaka ke-16, DUN Tanjung Bidara mempunyai seramai 15,003 pengundi berdaftar.

DUN Tanjung Bidara menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga Ketua Menteri Melaka dan calon Pakatan Harapan (PH), Yunazri Mustamiri. 
 

Must Watch Video

Advertisement