Ringkasan AI
- Bendera gergasi Taiwan diterbangkan menggunakan helikopter tentera sempena raptai Hari Kebangsaan di Taipei, sebagai simbol kedaulatan negara itu.
- Penerbangan bendera ini menjadi tradisi tahunan sejak 2019 untuk meningkatkan perpaduan di tengah tekanan berterusan dari China.
- Presiden Taiwan, Lai Ching-te, dijadual menyampaikan ucaptama Hari Kebangsaan yang turut menyentuh dasar kerajaan dan hubungan dengan China.
TAIPEI: Sebuah bendera gergasi Taiwan diterbangkan menggunakan helikopter tentera sempena sambutan Hari Kebangsaan negara itu, dalam acara yang dilihat sebagai simbol kedaulatan di tengah-tengah tekanan berterusan dari Beijing.
Bendera berukuran 12 meter x 18 meter itu diterbangkan di ruang udara Taipei menggunakan helikopter Chinook CH-47SD buatan Amerika Syarikat ketika lagu kebangsaan dimainkan semasa raptai sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung pada Sabtu.
Sejak 2019, tentera Taiwan menjadikan penerbangan bendera gergasi itu sebagai tradisi tahunan bagi meningkatkan semangat perpaduan ketika China memperhebat usaha mengehadkan pengiktirafan antarabangsa terhadap Taiwan.
China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan menentang sebarang usaha yang memberi gambaran bahawa pulau yang ditadbir secara demokratik itu merupakan sebuah negara berdaulat.
Juruterbang helikopter yang terlibat dalam raptai berkenaan, Lin Chang-cheng, berkata bendera itu melambangkan kedaulatan negara.
"Kami sering berdepan tekanan dalam masyarakat antarabangsa, jadi melihat bendera negara dipamerkan merupakan satu detik yang amat menyentuh perasaan," katanya.
Pada Sabtu, Presiden Taiwan, Lai Ching-te, dijadual menyampaikan ucaptama sempena sambutan Hari Kebangsaan, termasuk mengenai dasar kerajaan serta hubungan dengan China.
Hari Kebangsaan Taiwan disambut sempena kebangkitan 1911 yang membawa kepada kejatuhan dinasti terakhir China dan penubuhan Republik China, nama rasmi yang masih digunakan Taiwan sehingga kini.
Berbeza dengan era Perang Dingin yang lebih menonjolkan kekuatan ketenteraan, sambutan Hari Kebangsaan Taiwan kini memberi tumpuan kepada imej antarabangsa, budaya dan pencapaian negara, termasuk pertunjukan bunga api di bangunan ikonik Taipei 101.