Ringkasan AI
- Sejumlah 1,733 kes kecurian buah sawit direkodkan di rancangan FELDA Pahang sejak 2023, melibatkan kerugian hampir RM2.3 juta.
- Bagi tahun ini sahaja, 470 kes dicatatkan dengan nilai kerugian melebihi RM639,644.
- Langkah kawalan termasuk rondaan, pemasangan drop gate, serta kerjasama dengan polis dan MPOB telah dilaksanakan bagi membanteras kecurian.
KUANTAN: Sebanyak 1,733 kes kecurian buah sawit direkodkan di rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Pahang dalam tempoh empat tahun sejak 2023, dengan nilai kerugian dianggarkan hampir RM2.3 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan negeri Datuk Amizar Abu Adam berkata bagi tahun ini sahaja sebanyak 470 kes direkodkan dengan nilai kerugian lebih RM639,644.
Beliau berkata pengurusan rancangan FELDA sentiasa mengambil tindakan proaktif bagi membanteras ketirisan hasil bagi mengelakkan kerugian kepada peneroka dan agensi berkenaan.
Amizar berkata antara langkah yang telah dilaksanakan ialah membuat kawalan dan rondaan ladang oleh FELDA Security Services Sdn Bhd (FGVSSSB) di FELDA Jengka 23, Sungai Tekam, Jengka 19 dan Jengka 20.
“Langkah keselamatan turut dipertingkatkan menerusi pemasangan drop gate, di samping mengadakan kawalan dan rondaan oleh masyarakat setempat seperti di FELDA Jengka 21.
“Selain itu, kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga dilaksanakan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Shahril Azman Abd Halim (PN-Jengka) berhubung jumlah kes kecurian buah sawit yang dilaporkan di seluruh rancangan FELDA di Pahang.
-- BERNAMA