Skip to main content

Malaysia

Johor wajar laksana DLP, perkasa bahasa Inggeris di sekolah seiring JS-SEZ - Maszlee

Maszlee berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar bahasa Inggeris diperkasakan di sekolah-sekolah seluruh negeri ini. - Gambar fail/Bernama
Maszlee berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar bahasa Inggeris diperkasakan di sekolah-sekolah seluruh negeri ini. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Program Dwibahasa (DLP) wajar dilaksanakan di Johor bagi memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik.

Beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata langkah berkenaan dilihat seiring dengan usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Johor sebagai hab ekonomi menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Maszlee berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar bahasa Inggeris diperkasakan di sekolah-sekolah seluruh negeri ini.

Advertisement

“Kita tahu Johor ingin menjadi hab ekonomi berdasarkan JS-SEZ, maka kita perlukan anak-anak Johor yang mempunyai kebolehan komunikasi bahasa Inggeris agar peluang pekerjaan di JS-SEZ tidak diisi oleh orang luar, tetapi Bangsa Johor sendiri,” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan DLP di Sarawak sejak 2020 wajar dijadikan sebagai teladan apabila penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

Advertisement

Sementara itu, Maszlee berpandangan bahawa kerjasama dan libat urus dengan sekolah swasta dilihat dapat menjimatkan kos pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

Beliau berkata Johor juga mempunyai pelbagai sekolah swasta yang bersesuaian bagi pelaksanaan SRBJ seperti Sekolah Islam Hidayah di Kampung Sinaran Baru, Skudai.

“Kita tahu sekolah swasta, mereka sudah selangkah di hadapan jika dibandingkan dengan sekolah kerajaan, jadi dari segi kos, ia akan lebih jimat jika mereka (kerajaan negeri) approach sekolah swasta,” katanya.

SRBJ yang juga cetusan ilham Tunku Mahkota Ismail dilaksanakan di empat sekolah terpilih di daerah Johor Bahru, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, SK Tasek Utara, SMK Seri Kota Puteri 2 dan SK Seri Kota Puteri 4, dengan kesemuanya turut menerima pengiktirafan sebagai Apple Distinguished School.

Menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, pelaksanaannya memberi penekanan penguasaan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa Melayu selain mengukuhkan kemahiran STEM, pembangunan sahsiah serta kebolehpasaran murid dan pentaksiran kompetensi setara penilaian bertaraf antarabangsa dan selari dengan dasar Kementerian Pendidikan (KPM).

--BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement