INTERNATIONAL
‘BERHENTI Vladimir!’: Trump beri amaran kepada Putin selepas serangan maut di Kyiv

Petugas kecemasan berusaha mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan susulan serangan Rusia ke atas Kyiv, Ukraine. - Foto AP
KYIV: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Khamis menggesa Presiden Rusia, Vladimir Putin, menghentikan serangan terhadap Ukraine - satu teguran luar biasa terhadap pemimpin Kremlin itu selepas Moscow melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas ibu kota Kyiv, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dalam serangan paling dahsyat di bandar itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Seruan langsung Trump terhadap Putin itu hadir selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy merayu kepada sekutu-sekutunya agar meningkatkan tekanan terhadap Rusia bagi menghentikan pencerobohan yang berlarutan.
Zelenskyy juga terpaksa memendekkan lawatan ke Afrika Selatan bagi menangani kesan serangan tersebut, yang merupakan sebahagian daripada siri serangan udara berskala besar oleh Rusia yang telah meragut nyawa puluhan orang awam.
“Saya tidak bersetuju dengan serangan Rusia ke atas KYIV,” kata Trump menerusi satu hantaran di media sosial.“Tidak perlu, dan masa yang sangat tidak sesuai. BERHENTI Vladimir!” katanya.
“Ayuh kita sempurnakan rundingan damai!”
Utusan Trump, Steve Witkoff, dijadualkan berada di Rusia minggu ini dan beliau dijangka bertemu Putin bagi membincangkan kemungkinan perjanjian damai - kali keempat sejak Trump kembali ke White House pada Januari lalu.
Walaupun Ukraine terus dibedil sepanjang tiga tahun pencerobohan Rusia, serangan maut ke atas Kyiv - yang mempunyai sistem pertahanan udara yang lebih canggih berbanding bandar lain - jarang berlaku.
Serangan terbaharu itu menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap usaha Amerika Syarikat untuk memujuk kedua-dua pihak mencapai gencatan senjata, lebih-lebih lagi selepas Trump mengecam Zelenskyy minggu ini kerana enggan mengiktiraf Crimea - wilayah yang ditakluk Rusia pada 2014 - sebagai milik Moscow.
“Kami sudah lakukan segala yang dicadangkan oleh rakan-rakan kami, kecuali perkara yang bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang kami,” kata Zelenskyy kepada wartawan di Afrika Selatan, ketika ditanya mengenai Crimea.
Zelenskyy turut mempersoalkan komitmen sekutu Kyiv dalam menekan Rusia agar bersetuju dengan gencatan senjata tanpa syarat.
“Saya tidak nampak sebarang tekanan kuat terhadap Rusia atau pakej sekatan baharu terhadap pencerobohan ini,” kata Zelenskyy, sambil mengingatkan Trump pernah memberi amaran akan ada akibat jika Moscow enggan menghentikan pertempuran.
“Serangan ini mesti dihentikan serta-merta dan tanpa syarat,” tegasnya sambil menyifatkan serangan udara pada awal pagi Khamis itu sebagai “antara yang paling canggih dan berani” sepanjang peperangan ini.
Rusia lancar 70 peluru berpandu
Bunyi letupan kuat kedengaran di seluruh ibu kota Ukraine sekitar jam 1 pagi, selepas siren serangan udara dibunyikan, menurut wartawan AFP yang berada di lokasi.
Tentera udara Ukraine melaporkan Rusia telah melancarkan sekurang-kurangnya 70 peluru berpandu dan 145 dron sejak malam Rabu hingga awal pagi Khamis, dengan Kyiv menjadi sasaran utama.
Pasukan penyelamat mengesahkan 10 maut dan 90 lagi cedera dalam serangan itu.
Pihak berkuasa Rusia mendakwa, mereka menyasarkan industri pertahanan Ukraine, termasuk kilang yang menghasilkan bahan api roket dan serbuk letupan.
Olena Davydiuk, seorang peguam berusia 33 tahun di Kyiv memberitahu AFP, dia melihat tingkap pecah dan pintu tercabut dari engsel akibat letupan tersebut.
“Orang ramai ditarik keluar dari runtuhan. Mereka kata ada mayat juga,” katanya lagi.
Di daerah Sviatoshinsky di barat Kyiv, wartawan AFP melihat satu beg mayat terletak di atas rumput, dipercayai salah seorang mangsa.
Seorang wanita kelihatan duduk di atas kerusi lipat kecil, mengusap lengan individu yang terkorban dan tubuhnya ditutup dengan kain bercorak jalur biru.
Tentera Moscow sejak sebulan lalu telah melancarkan beberapa serangan udara paling berdarah ke atas Ukraine - bertentangan dengan usaha Trump untuk menghentikan pertumpahan darah dengan segera.
Serangan peluru berpandu balistik ke atas bandar Sumy di timur laut pada 13 April lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 35 orang.
Sementara itu, serangan di bandar kelahiran Zelenskyy, Kryvyi Rig, awal April lalu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 19 maut, termasuk sembilan kanak-kanak selepas peluru berpandu mengenai kawasan kediaman berhampiran taman permainan.
Trump sebelum ini menuduh Zelenskyy menggagalkan usaha damai dengan enggan mengiktiraf tuntutan Rusia ke atas Crimea, yang disifatkan Presiden AS itu sebagai wilayah yang telah “hilang sejak bertahun lalu”.
Ditanya mengenai kenyataan Trump, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata pada Khamis: “Ini sepenuhnya selari dengan pandangan kami, yang telah kami nyatakan sejak sekian lama.”
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami