ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad, 6 September 2020.

1) COVID-19: India catat lebih 90,000 kes baru, angka harian tertinggi setakat ini

Menurut data yang dikongsikan Kementerian Kesihatan, sejumlah 90,632 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan penambahan 1,065 kematian.

2) COVID-19: Thailand catat enam kes baharu, tiga jangkitan semula

Thailand mengesahkan enam kes jangkitan baharu COVID-19 termasuk tiga kes jangkitan semula.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan, ketiga-tiga lelaki berumur 43, 53 dan 56 tahun diuji positif virus itu selepas tiba dari Singapura pada Jumaat.

3) COVID-19: Singapura catat 40 kes baharu dengan 13 kes import

Menurut Kementerian Kesihatan republik itu, kes baharu terbabit termasuk empat penularan dalam komuniti melibatkan pemegang pas kerja.

4) China cari lebih banyak negara untuk ujian vaksin peringkat akhir

China National Biotec Group (CNBG) dan Sinovac Biotech Ltd sahkan empat lagi negara bersetuju untuk menjalankan ujian klinikal peringkat akhir calon vaksin koronavirus mereka.

5) Perintah berkurung di Melbourne dilonggarkan sedikit

Perintah berkurung yang dikuatkuasakan di wilayah Victoria, Australia akan dilonggarkan sedikit di Melbourne. Namun, perintah tersebut tetap akan dilanjutkan sekurang-kurangnya hingga 26 Oktober 2020.

6) Taufan Haishen membadai Jepun, penduduk Kyushu mula berpindah

Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan amaran taufan ganas dengan angin kencang dan hujan lebat sedang menuju ke arah selatan negara itu pada Ahad.

7) India dan China setuju redakan ketegangan

India dan China bersetuju untuk mengurangkan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara susulan pertemuan menteri pertahanan antara dua negara kuasa nuklear Asia itu.

8) PUBG diharam di India, Akshay Kumar jalin kerjasama lancar versi sendiri

Sebuah syarikat pembangun permainan mudah alih dengan kerjasama bintang Bollywood terkenal, Akshay Kumar, bakal melancarkan Fearless and United: Guards (FAU:G) sebagai alternatif kepada permainan dalam talian Tencent PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile yang diharamkan di negara itu.

9) Seorang maut, tujuh cedera dalam kes tikaman rambang di Birmingham

Sekurang-kurangnya seorang maut manakala tujuh lagi cedera dalam beberapa siri insiden tikaman di Birmingham, United Kingdom.

Menurut pihak berkuasa West Midlands, polis menerima satu laporan kes tikaman di kawasan bandar itu selepas tengah malam Ahad.

10) Berdiri dalam kotak dipenuhi ais, lelaki Austria ini cipta rekod baharu!

Seorang lelaki Austria pada Sabtu mengagumkan orang ramai apabila mampu bertahan dengan berdiri dalam sebuah kotak yang penuh diisi dengan ketulan ais, untuk satu tempoh yang melayakkannya mendapat pengiktirafan.