PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan sebuah pusat hiburan di ibu negara yang menyediakan persembahan tarian melibatkan golongan ‘sejenis’ dalam operasi khas awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam operasi bersepadu bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang bermula pada 12.05 tengah malam itu, tiga lelaki warga China dan seorang lelaki warga Filipina berumur antara 21 dan 31 tahun ditahan.
"Kesemua warga asing ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
"Tiga lelaki warga tempatan telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata pusat hiburan di Jalan Klang Lama yang telah beroperasi sejak tahun lepas terbabit dipercayai menawarkan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing melibatkan golongan ‘sejenis’ dengan menyasarkan pelanggan warga tempatan dan warga asing di Lembah Klang.
"Bayaran yang dikenakan bermula dari RM53 hingga RM700 mengikut minuman dan tempahan meja oleh pelanggan," katanya.
-- BERNAMA