DUNIA
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Berita luar negara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 16 September 2020.
JUMLAH kumulatif kes positif global COVID-19 kini melebihi 29 juta kes selepas hampir 300,000 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan angka jangkitan di seluruh dunia terkini mencecah 29,408,424 dan Amerika Syarikat terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 6.5 juta kes.
PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa menyaksikan perjanjian damai bersejarah dimeterai antara Israel dan dua negara Arab di White House.
Perjanjian itu merasmikan permulaan hubungan baharu antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain, sekali gus mengubah landskap politik Asia Barat.
BEKAS Presiden Mali, Moussa Traore yang pernah memerintah negara di Afrika Barat itu selama 22 tahun meninggal dunia pada usia 83 tahun pada Selasa.
Perkara itu disahkan anaknya, Idrissa Traore.
PROTES tercetus di Gaza pada Selasa sebelum perjanjian damai bersejarah ditandatangani antara Israel dan dua negara Arab di White House.
Menurut penunjuk perasaan, ia merupakan satu hari yang membangkitkan kemarahan rakyat Palestin
AKTOR popular Indonesia, Ade Firman Hakim yang terkenal dengan filem Guru Bangsa: Tjokroaminoto dan Soekarno: Indonesia Merdeka meninggal dunia akibat COVID-19 pada Isnin.
Portal berita Indonesia, Liputan6 melaporkan pelakon tersebut meninggal dunia pada jam 5.20 petang di Jakarta dan kematiannya diumumkan adiknya, Dai Tirta.
Ketua Parti Liberal Demokratik (LDP) Yoshihide Suga sah dipilih sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu, menggantikan Abe Shinzo, pada Rabu.
Agensi CNN melaporkan Suga, 71, menyandang jawatan berkenaan selepas memenangi majoriti undi daripada badan perundangan negara, Diet, di Parlimen, iaitu 315 daripada 465 undi di Dewan Rakyat, dan 142 daripada 240 undi di Dewan Negara
Indonesia mencatatkan 3,963 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah harian tertinggi sejak kes pertama dikesan di republik itu pada 2 Mac 2020.
Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, jumlah kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 228,993 manakala 100,236 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.
Singapura melaporkan 27 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu kepada 57,515.
"Berdasarkan kepada siasatan kami setakat ini, terdapat dua kes dalam komuniti, kedua-duanya merupakan pemegang pas kerja," menurut Kementerian Kesihatan republik itu dalam data ringkas yang dikeluarkan hari ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami