ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 17 Ogos 2022.

1. Utusan Khas PBB adakan lawatan ke Myanmar

Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Noeleen Heyzer memulakan lawatan ke Myanmar, lawatan pertamanya ke negara di Asia Tenggara itu sejak dilantik pada Oktober tahun lalu.

2. Konflik Pemisah | Serangan bom gegar selatan Thailand

Selatan Thailand digemparkan dengan beberapa serangan bom dan pembakaran pada Selasa malam. Menurut jurucakap tentera, sekurang-kurangnya 17 serangan berlaku di Pattani, Narathiwat serta Yala, kebanyakannya di kedai runcit dan stesen minyak.

3. Tempoh darurat kekang protes di Sri Lanka tidak dilanjut

Sri Lanka tidak akan melanjutkan tempoh darurat di negara itu bagi mengawal protes antikerajaan.

4. Vaksin malaria pertama dunia akan beri manfaat kepada berjuta kanak-kanak - UNICEF

Syarikat farmaseutikal Britain, GSK memperoleh kontrak untuk menghasilkan vaksin malaria pertama di dunia supaya berjuta-juta lagi kanak-kanak akan dilindungi daripada penyakit yang membawa maut itu, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Selasa.

5. Angka kematian akibat banjir di Sudan meningkat kepada 75

Angka kematian akibat hujan lebat dan banjir di Sudan baru-baru ini meningkat kepada 75 orang, kata Majlis Pertahanan Awam Kebangsaan negara itu pada Selasa.

6. Sebahagian besar isu utama perjanjian nuklear Iran selesai - AS

Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berkata banyak perkara paling mendesak dan penting untuk mendapatkan Washington dan Iran kembali mematuhi perjanjian nuklear 2015 telah dipersetujui secara umum.

7. TPM Singapura, Wong jelaskan waktu sebenar penggantian belum diputuskan

Timbalan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkata waktu sebenar untuk beliau menggantikan Lee Hsien Loong sebagai perdana menteri belum diputuskan lagi.

8. Serangan Gaza | Isreal akui bunuh lima kanak-kanak di kawasan kubur

Tentera Israel mengakui membunuh lima kanak-kanak Palestin dalam satu serbuan udara semasa serangan tiga hari di semenanjung Gaza baru-baru ini.

9. Serbuan Mar-a-Lago mungkin tingkatkan kembali populariti Trump - Penganalisis

Melainkan pihak penguatkuasa undang-undang persekutuan dapat mensabitkan bekas Presiden Donald Trump atas tuduhan jenayah sebelum pilihan raya presiden akan datang, serbuan FBI di rumahnya di Florida minggu lepas hanya akan menguatkan tuntutannya bagi pencalonan parti Republikan 2024.

10. Elon Musk nak beli Manchester United?

KETUA Pegawai Eksekutif dan Pengasas Tesla, Elon Musk umum beliau akan membeli kelab bola sepak Manchester United dalam satu muat naik di Twitter.