ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 11 November 2022.

1. ASEAN berjaya atasi kebanyakan ancaman COVID-19 - PM Kemboja

Negara-negara anggota ASEAN telah berjaya mengatasi sebahagian besar ancaman COVID-19 dan meneruskan aktiviti sosio-ekonomi dalam tempoh tiga tahun sejak pandemik global COVID-19 melanda dunia.

2. AS terus beri tekanan ke atas junta Myanmar hentikan keganasan

Amerika Syarikat (AS) akan terus memberi tekanan pada rejim Myanmar sehingga ia menghentikan keganasan terhadap rakyatnya, dan mengembalikan negara itu ke landasan demokrasi.

3. PM Jepun pecat Menteri Kehakiman berhubung ulasan kontroversi - Laporan

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida telah membuat keputusan untuk memecat Menteri Kehakiman Yasuhiro Hanashi berhubung kenyataannya mengenai tugas berkaitan menandatangani hukuman mati.

4. Pekerja mogok besar-besaran di Perancis

Kesatuan-kesatuan pekerja di Perancis melancarkan mogok di jalan-jalan di Paris dan berpuluh-puluh bandar lain di negara itu pada Khamis bagi menuntut kenaikan gaji dan keadaan kerja yang lebih baik, selain mengecam peningkatan kos sara hidup dan menuntut bantuan kerajaan susulan kenaikan harga.

5. Penunjuk perasaan tuntut siasatan tragedi Stadium Kanjuruhan

Berpuluh-puluh ribu rakyat Indonesia berhimpun menuntut keadilan dan siasatan menyeluruh terhadap kejadian rempuhan di Stadium Bola Sepak Kanjuruhan yang menyebabkan 135 orang terbunuh bulan lepas.

6. Ribuan berkumpul kenang Yasser Arafat

Berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin berkumpul di kota Gaza memperingati ulang tahun ke-18 kematian Yasser Arafat.

7. Jangkitan semula COVID lebih berisiko daripada jangkitan pertama - Kajian

Risiko kematian, kemasukan ke hospital dan isu kesihatan serius akibat COVID-19 melonjak dengan ketara melalui jangkitan semula berbanding jangkitan pertama virus itu, tanpa mengira status vaksinasi.

8. COP27 | ICRC gesa pemimpin dunia fokus negara konflik

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyeru pemimpin dan kumpulan perunding dunia di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) itu untuk memberi perhatian lebih selain menggembleng dana kepada negara dilanda konflik, di mana ia antara paling terdedah kepada perubahan iklim.

9. Eksekutif kanan Twitter letak jawatan

Pemilikan bilionair paling kaya di dunia, Elon Musk terhadap Twitter semakin menjadi huru-hara pada Khamis apabila beberapa eksekutif keselamatan utama bertindak meletak jawatan daripada platform perkhidmatan rangkaian sosial itu.

10. Nahas Sriwijaya Air | Kegagalan sistem pendikit automatik punca terhempas: Laporan

Kegagalan membaiki pendikit automatik sehingga terpaksa bergantung kepada sistem automasi pesawat menjadi faktor berlakunya nahas pesawat Sriwijaya Air yang mengorbankan 62 nyawa tahun lepas.