Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
November 18, 2022 15:59 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 18 November 2022.
1. MH17: Dua warga Rusia, seorang warga Ukraine dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup
Mahkamah Daerah The Hague pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine selepas mereka didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 serta menyebabkan kesemua 298 penumpang dan krunya terbunuh.
2. Waris mangsa MH17 akur keputusan Mahkamah Belanda, harap pelaku dihukum
Seorang waris mangsa tragedi pesawat penumpang MH17 yang ditembak jatuh dengan peluru berpandu buatan Rusia pada 2014 akur dengan keputusan Mahkamah Belanda yang mendapati tiga daripada empat tertuduh bersalah.
3. Australia tuduh Putin sorok pembunuh, minta Rusia serah tiga lelaki tembak jatuh MH17
Menteri Luar Australia menuduh Presiden Rusia Vladimir Putin "melindungi pembunuh" dan menggesa Rusia menyerahkan tiga lelaki yang didapati bersalah kerana menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada tahun 2014.
4. Republikan rampas kawalan Dewan Perwakilan AS
Parti Republikan (GOP) merampas kawalan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) daripada Demokrat selepas meraih majoriti tipis dengan memenangi 218 kerusi daripada 435 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal yang berlangsung pada 8 November lalu.
5. Nancy Pelosi bakal lepaskan jawatan pemimpin tertinggi Demokrat
Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi mengumumkan pada Khamis bakal melepaskan jawatan sebagai pemimpin tertinggi Demokrat di Dewan Perwakilan, lapor Xinhua.
6. Myanmar umum pengampunan bagi 5,774 banduan sempena Hari Kebangsaan
Majlis Pentadbiran Myanmar memberi pengampunan kepada 5,774 banduan pada Khamis sempena Hari Kebangsaan negara itu, lapor Xinhua, memetik saluran televisyen kerajaan MRTV.
7. Lima maut nahas helikopter
Lima anggota keselamatan maut dalam nahas helikopter di Aguascalientes, Mexico pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.
8. Canselor UK umum kenaikan cukai, pengurangan perbelanjaan untuk pulihkan ekonomi
Canselor Perbendaharaan United Kingdom (UK) Jeremy Hunt pada Khamis mengumumkan pakej kenaikan cukai dan pengurangan perbelanjaan bernilai 55 bilion Pound (AS$65 bilion) dalam usaha meningkatkan kewangan awam serta memulihkan kredibiliti ekonomi negara, lapor Xinhua.
9. Mesyuarat pemimpin APEC bermula dengan agenda pertumbuhan mampan, perdagangan
Pemimpin ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bertemu di sini pada Jumaat untuk membincangkan kaedah menggalakkan pembangunan mampan serta memudahkan perdagangan dan pelaburan.
10. PBB gesa COP27 segera capai konsensus tindakan iklim
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Khamis menyeru negara-negara untuk mengambil langkah mengatasi perubahan iklim dan bukannya saling "menuding jari".
#berita pilihan #berita antarabangsa #berita luar negara #Berita AWANI