ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 22 Februari 2023.

1. Latihan Perang | Kapal perang Rusia tiba di Afrika Selatan

Kapal perang The Admiral Gorshkov milik Rusia tiba di Pelabuhan Richards Bay, Afrika Selatan. Kapal yang dilengkapi peluru berpandu jelajah hipersonik generasi baharu itu bakal menyertai latihan ketenteraan Rusia bersama Afrika Selatan dan China Jumaat ini.

2. China tawar penyelesaian ideal untuk keselamatan dunia

China pada Selasa menyiarkan Kertas Konsep Inisiatif Keselamatan Global (GSI) yang memperincikan mengenai konsep teras dan prinsip inisiatif itu.

3. Banjir Lumpur | Angka korban hampir cecah 50 nyawa

Angka korban banjir lumpur dan tanah runtuh di Brazil kini meningkat kepada 46 nyawa, kebanyakannya direkodkan di bandar Sao Sebastiao. Penguasa wilayah Sao Paolo dalam satu kenyataan memaklumkan sekitar 2,500 penduduk hilang tempat tinggal.

4. Keselamatan | Australia, Filipina rancang rondaan di Laut China Selatan

Australia dan Filipina membincangkan hasrat untuk melakukan rondaan bersama di Laut China Selatan. Pelan itu sebagai respon kepada tindakan China yang dilihat semakin agresif di kawasan perairan itu.

5. Gempur Pengganas | Seorang anggota Abu Sayyaf maut, dua tentera Filipina cedera

Ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang terbunuh dikenal pasti sebagai Rhudymar Habib Jihiran, salah seorang pengikut Mudzrimar Sawadjaan, suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes-kes jenayah rentas sempadan terutama sekali di zon selamat Timur Sabah (ESSZone).

6. Terusan di Venice kering, Itali mungkin alami kemarau musim sejuk

Beberapa faktor dikesan menjadi punca antaranya kekurangan hujan, sistem tekanan tinggi, bulan penuh dan arus laut.

7. COVID-19 | Pil Merck gagal halang jangkitan dalam kalangan isi rumah

Syarikat Farmaseutikal, Merck & Co Inc mengesahkan pil COVID-19 keluarannya tidak berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan koronavirus pada individu yang tinggal bersama pesakit COVID-19.

8. PM UK timbang naikkan gaji sektor awam sebanyak 5 peratus untuk tamatkan mogok

Kenaikan gaji 5 peratus pada 2023-2024 mempunyai "risiko rendah" dalam penetapan penanda aras untuk pertumbuhan gaji sektor swasta.

9. Korea Selatan tarik balik syarat ujian PCR selepas ketibaan bagi pelawat dari China

Keputusan diambil setelah kadar kes positif COVID-19 dalam kalangan ketibaan dari China merosot kepada 0.6 peratus pada minggu ketiga Februari.

10. Malaysia, Arab Saudi setuju muktamadkan rundingan bagi majlis penyelarasan kerjasama dua hala - Zambry

Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk segera memuktamadkan rundingan bagi menginstitusikan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia (SMCC), yang akan menjadi platform utama kerjasama dua hala pada masa hadapan, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.