ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 4 Mac 2023.

1. Jumlah kanak-kanak bekerja dan jadi buruh di Filipina meningkat pada 2021

Jumlah kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun yang bekerja di Filipina meningkat pada 2021, dianggarkan seramai 1.37 juta orang, lapor Xinhua memetik data kerajaan yang dikeluarkan pada Jumaat.

2. China: Usaha lindungi haiwan dan tumbuhan liar catat pencapaian menggalakkan

China telah mengambil pelbagai tindakan untuk melindungi haiwan dan tumbuhan liar sehingga mencapai hasil yang menggalakkan, kata pegawai Biro Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput sempena sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia ke-10 hari ini.

3. Krisis Ukraine-Rusia: White House umum pakej bantuan ketenteraan

Menurut Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre, ini merupakan pakej bantuan keselamatan Amerika Syarikat (AS) yang ke-33 untuk Ukraine terus mempertahankan negara itu daripada pencerobohan Rusia.

4. Seorang terbunuh, lima cedera dalam letupan di Montenegro

Seorang terkorban, manakala lima yang lain cedera dalam insiden letupan di perkarangan pintu masuk mahkamah di Podgorica, Montenegro pada Jumaat. Berdasarkan laporan pihak berkuasa, insiden itu berlaku berpunca daripada letupan bom tangan.

5. Parlimen Georgia 'hangat' ketika perbahasan akta kontroversi

Media tempatan menyiarkan rakaman yang menunjukkan terjadi pergaduhan fizikal antara Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan di bawah parti pemerintah Georgian Dream, yang mengumumkan bulan lalu bahawa ia akan menyokong rang undang-undang itu.

6. Dua aktivis Thailand berdepan masalah kerosakan buah pinggang, gara-gara mogok lapar

Dua aktivis wanita Thailand yang melancarkan mogok lapar selama 44 hari untuk memberi tekanan supaya tahanan-tahanan politik dibebaskan, sudahnya dikejarkan ke hospital pada Jumaat kerana berada dalam keadaan kritikal.

7. 12 maut akibat kebakaran saluran paip di Nigeria

Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh pada Jumaat selepas letupan dan kebakaran saluran paip berlaku berhampiran kilang penapisan minyak haram di Nigeria, lapor Agensi Anadolu.

8. Masjidil Haram mula guna AI untuk pastikan operasi menjelang Ramadan 1444H lancar

Masjidil Haram mula menggunakan sepenuhnya aplikasi kecerdasan buatan (AI) termaju untuk melancarkan operasi menerima kunjungan jemaah pada Ramadan tahun 1444 hijrah ini.

9. Taiwan longgarkan protokol kawalan COVID-19 untuk pelayaran antarabangsa

Taiwan melonggarkan lagi protokol kawalan COVID-19 untuk pelayaran antarabangsa dalam usaha negara ini meningkatkan sektor pelancongan, umum Biro Maritim dan Pelabuhan pada Sabtu.

10. Abu mayat kapten 'Wild Boars' tiba di Thailand

Abu mayat Duangpetch Promthep, seorang daripada 12 remaja lelaki dari pasukan bola sepak "Wild Boars" Thailand yang terperangkap dalam gua di utara Thailand pada 2018, selamat tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kira-kira 6.30 pagi (waktu tempatan).