DUNIA
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 13 Jun 2025.
Iran menggesa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) susulan serangan udara Israel ke atas beberapa tapak nuklear dan kawasan awam di seluruh negara itu awal pagi Jumaat.
Bekas Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani, dipercayai antara mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Air India yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, India.
Amerika Syarikat (AS) mengulangi komitmennya terhadap peranan utama ASEAN dalam hal ehwal serantau dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menjelang beberapa siri mesyuarat peringkat tinggi berkaitan ASEAN yang akan dianjurkan oleh negara ini hujung tahun ini.
Bank Dunia berkata kemiskinan kekal menjadi kebimbangan utama di Myanmar selepas gempa bumi menjejaskan pertumbuhan ekonomi, mengakibatkan 17 juta penduduk menghadapi kesusahan ekonomi.
Di tengah-tengah ketegangan berterusan di sempadan dengan Thailand, Kemboja mengambil langkah memastikan bekalan elektrik dan internet sendiri susulan ancaman pemotongan perkhidmatan itu, dengan Perdana Menteri Hun Manet menegaskan bahawa keselamatan tenaga negara itu tidak akan dikompromi.
Usaha politik dan diplomatik merupakan satu-satunya pendekatan yang wajar bagi menyelesaikan isu nuklear Iran, kata wakil tetap China ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Li Song.
Sebuah pesawat Air India yang dalam penerbangan dari pulau peranginan Phuket, Thailand ke Delhi terpaksa melakukan pendaratan cemas pada Jumaat susulan ancaman bom, menurut pihak berkuasa Lapangan Terbang Phuket.
Sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengeluarkan perintah sementara yang menghalang Presiden Donald Trump daripada mengerahkan anggota Pengawal Kebangsaan ke Los Angeles, susulan saman yang difailkan oleh pemimpin Parti Demokrat berhubung tindakan keras terhadap dasar imigresen.
Jordan pada Jumaat mengumumkan penutupan sementara ruang udaranya, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.
Malaysia mengalu-alukan sokongan jelas dan padu masyarakat antarabangsa terhadap Palestin yang dizahirkan melalui sokongan Resolusi Sesi Tergempar ke-10 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada 12 Jun di New York.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami