DUNIA

Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani 30/06/2025 | 15:59 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 30 Jun 2025.
1. 10 rakyat Palestin terkorban dalam serangan udara Israel terhadap gudang bantuan di Gaza
Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terkorban pada pagi Isnin selepas pesawat tentera Israel menyerang sebuah gudang pengagihan bantuan di kejiranan Al-Zaytoun, selatan Bandaraya Gaza.
2. Menteri Pertahanan sangkal spekulasi kudeta tentera di Thailand
Angkatan tentera Thailand tidak berhasrat untuk merampas kuasa, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand, Phumtham Wechayachai pada Isnin.
3. 97 rakyat Indonesia dibawa pulang dari Iran, 26 dari Baitulmaqdis, Arabah dan Tel Aviv
Kerajaan Indonesia melaksanakan operasi pemindahan seramai 97 rakyatnya dari Iran dan 26 lagi dari kawasan Tel Aviv, Baitulmaqdis serta Arabah susulan ketegangan yang semakin memuncak di rantau berkenaan.
4. Tokyo mahu China sambung semula import makanan laut Jepun dari semua wilayah
Jepun menyambut baik keputusan China untuk menyambung semula sebahagian import makanan laut dari Jepun, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Kazuhiko Aoki.
5. Trump nafi bincang dengan Iran, dakwa kemudahan nuklear Tehran ‘dihapuskan sepenuhnya’
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Isnin menegaskan bahawa pentadbirannya tidak menawarkan sebarang bentuk bantuan kepada Iran dan tidak menjalankan sebarang perbincangan dengan negara itu, sambil mengulangi dakwaannya bahawa kemudahan nuklear utama Iran telah dihapuskan sepenuhnya.
6. Israel ugut kepimpinan Iran pada hari pertama serangan - Penasihat tertinggi
Israel menghantar mesej berunsur ugutan kepada beberapa pegawai kanan politik, ketenteraan dan keselamatan Iran pada hari pertama serangan terhadap negara itu, kata penasihat tertinggi kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
7. Hujan monsun ragut 45 nyawa dalam tempoh empat hari di seluruh Pakistan
Sekurang-kurangnya 45 orang terkorban dalam tempoh empat hari akibat hujan lebat dan banjir kilat yang melanda hampir seluruh wilayah di Pakistan sejak bermulanya musim monsun pada 26 Jun, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan.
8. 239 kanak-kanak maut di barat Sudan sejak Januari
Sekurang-kurangnya 239 kanak-kanak dilaporkan maut di wilayah barat Sudan sejak Januari lalu akibat kekurangan makanan dan ubat-ubatan, menurut Rangkaian Doktor Sudan pada Ahad.
9. Mesir usahakan gencatan senjata 60 hari di Gaza
Menteri Luar Mesir pada Ahad berkata negaranya sedang berusaha merangka satu perjanjian baharu Gaza yang merangkumi gencatan senjata selama 60 hari, sebagai pertukaran bagi pembebasan beberapa tawanan Israel serta kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dikepung itu.
10. Iran kemuka aduan kepada PBB berhubung serangan Israel ke atas sektor kesihatan
Duta Besar dan Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Amir Sa'eed Iravani mengecam serangan sengaja oleh Israel ke atas petugas perubatan Iran dalam satu aduan rasmi yang dikemukakan kepada PBB.
#berita pilihan #antarabangsa #berita dunia #Berita AWANI