Berita Terkini ASEAN25: China sedia bekerjasama dengan ASEAN untuk kejayaan FTA 3.0 - PM China

China berhasrat untuk mengekalkan komunikasi dan penyelarasan rapat dengan Singapura dalam mekanisme pelbagai hala. - AP
SINGAPURA: Perdana Menteri China Li Qiang pada Ahad berkata China bersedia untuk bekerjasama dengan Singapura dan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi memastikan kejayaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (FTA) 3.0 serta mencapai pembangunan yang lebih besar bersama, lapor Xinhua.
Li berkata demikian ketika bertemu dengan Pemangku Presiden Singapura Eddie Teo, semasa lawatan rasminya ke negara itu.
China berhasrat untuk mengekalkan komunikasi dan penyelarasan rapat dengan Singapura dalam mekanisme pelbagai hala, bekerjasama mempertahankan multilateralisme dan perdagangan bebas, serta mempromosikan dunia multipolar yang adil dan teratur, selain globalisasi ekonomi yang inklusif serta memberi manfaat kepada semua, katanya.
Li menyedari yang dunia kini memasuki era baharu yang penuh ketidaktentuan dan transformasi, dengan pelbagai cabaran global yang saling berkait. Oleh itu, China dan Singapura sebagai jiran bersahabat dan rakan kongsi penting perlu memperkukuh perpaduan dan kerjasama.
Melihat ke hadapan, Li berkata China bersedia untuk meningkatkan pertukaran peringkat tinggi dan komunikasi strategik dengan Singapura, saling menyokong kepentingan teras dan keprihatinan utama masing-masing, memperdalam kepercayaan politik bersama, memperluas kerjasama yang saling menguntungkan dan mempromosikan pembangunan hubungan China-Singapura yang berterusan serta stabil demi manfaat kedua-dua negara, rantau dan dunia.
Li turut memaklumkan bahawa Sesi Pleno Keempat Jawatankuasa Pusat ke-20 CPC baru-baru ini membincangkan dan meluluskan cadangan untuk merangka Rancangan Lima Tahun ke-15, yang menyediakan peluang penting untuk kerjasama masa depan antara China dan Singapura.
China bersedia untuk bekerjasama dengan Singapura dalam meneroka potensi kerjasama ekonomi dan perdagangan serta memperluas kolaborasi dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, pembangunan hijau dan kecerdasan buatan (AI) bagi menambah momentum kepada proses pemodenan kedua-dua negara, katanya.
Lebih banyak syarikat Singapura dialu-alukan untuk meneroka pasaran luas China dan berkongsi peluang pembangunan yang besar, sambil berkata kedua-dua pihak perlu memperkukuh pertukaran pengalaman pembangunan dan memperdalam kerjasama dalam bidang hubungan antara rakyat.
Sementara itu, Teo berkata China dan Singapura mempunyai sejarah hubungan dan pertukaran yang panjang serta rapat. Tahun ini sempena ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, menyaksikan hubungan dua hala berkembang dengan momentum yang kukuh, katanya.
Teo turut mengucapkan tahniah kepada China atas kejayaan penganjuran Sesi Pleno Keempat Jawatankuasa Pusat ke-20 CPC, sambil menyatakan harapan agar Rancangan Lima Tahun ke-15 China yang akan membawa manfaat kepada rantau ini dan dunia secara keseluruhan.
Singapura bersedia untuk memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan dengan China, mempertingkat kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perdagangan dan pertukaran antara rakyat, memperdalam perkongsian strategik komprehensif ASEAN-China, menggalakkan pembaharuan Pertubuhan Perdagangan Dunia dan membina ekonomi dunia yang terbuka, katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


