Berita terkini ASEAN25: Presiden Brazil tiba di Malaysia sebagai tetamu Pengerusi

Lula dan isteri mendarat di Kompleks Bunga Raya KLIA, dan disambut oleh Johari. - Gambar/ Bernama
SEPANG: Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva tiba di Malaysia bagi mengadakan lawatan rasmi tiga hari sebagai tetamu Pengerusi ASEAN bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Pesawat khas yang membawa Lula dan isterinya Janja Lula da Silva serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 3.30 petang, dan disambut oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Lula kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan rasmi Lula itu adalah yang pertama sejak memegang jawatan untuk penggal baharu pada Januari 2023.
Beliau akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana.
Kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Brazil dan meneroka peluang baharu bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, sains dan teknologi, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, pertanian, kesihatan serta pendidikan.
Selain itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu serantau dan global, antaranya kerjasama di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), BRICS dan ASEAN, COP30 serta Perikatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan dan isu Palestin.
Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bakal dimeterai meliputi bidang semikonduktor, sains dan inovasi serta kerjasama antara badan pemikir, selain Pertukaran Nota mengenai latihan diplomatik dan Surat Hasrat bagi kerjasama mengenai kolaborasi dalam sumber genetik dan bioteknologi.
Pada Ahad, Presiden Brazil akan menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selain menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 sebelum menghadiri majlis makan malam gala anjuran Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 27 Okt.
Lula juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) pada 25 dan 26 Okt.
Pada 2024, Brazil ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin, dengan jumlah dagangan dua hala sebanyak RM20.36 bilion (USD4.46 bilion).
Eksport Malaysia merangkumi produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, getah dan farmaseutikal halal, manakala import pula terdiri bijih, makanan proses dan produk petroleum.
Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Okt di Kuala Lumpur.
Sidang kemuncak itu bakal menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN dan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan Brazil.
Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu, dengan kehadiran pemimpin dunia seperti Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Acara ini juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN sejak 1967, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

