ISTANBUL: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, negara-negara Asia Barat perlu menggunakan pengaruh mereka ke atas isu serantau untuk memastikan konflik Gaza dibendung, sekali gus menghalang kitaran keganasan yang tidak berkesudahan.

Blinken berkata demikian selepas bertemu pemimpin Turki dan Greece pada permulaan lawatan selama seminggu bertujuan meredakan ketegangan yang memuncak sejak perang Israel dan Hamas bermula Oktober lalu.

Sebelum terbang ke Jordan, Blinken berkata, hampir semua negara di Asia Barat bertanggungjawab untuk membendung pertempuran itu.

Washington katanya, mahu memastikan bahawa negara-negara tertentu menggunakan hubungan dan pengaruh mereka dengan beberapa kumpulan yang mungkin terlibat untuk menutup perkara tersebut, sekali gus memastikan tiada penyebaran konflik.

"Sebagaimana saya sebut pada hari pertama lagi, fokus kami yang paling utama ialah menghalang konflik ini merebak.

"Tugas penting dalam perbincangan yang akan diadakan bersama dengan sekutu dan rakan kami ialah mencari langkah-langkah yang boleh dilaksanakan di mana mereka boleh menggunakan pengaruh dan hubungan yang mereka sedia jalin dan itulah yang mereka boleh membantu, ia bagi memastikan bahawa konflik tidak merebak," katanya.

Blinken merujuk kepada kumpulan Hezbollah Lubnan yang disokong Iran di mana pada Sabtu, ia mendakwa menembak roket ke Israel sementara rejim Zionis mengaku menyerang kubu pengganas sebagai tindakan balas.

Dalam hal ini, Blinken berkata, adalah sangat penting bahawa Israel diberi keselamatan di utara negara itu.

Blinken, yang turut melawat negara-negara Arab, Israel dan Tebing Barat yang diduduki berkata, jika usaha untuk menyelesaikan krisis itu gagal, akan tercetus kehidupan yang tidak selamat serta konflik baharu kepada penduduk di rantau itu.

Beliau juga menegaskan akan melihat apa yang boleh dilakukan untuk memaksimumkan perlindungan orang awam di Gaza serta meningkatkan penyampaian bantuan kemanusiaan di wilayah terkepung itu lebih-lebih lagi apabila terlalu ramai rakyat Palestin terbunuh, terutama kanak-kanak.

Blinken juga berharap untuk mencapai kemajuan dalam perbincangan tentang bagaimana Gaza boleh ditadbir jika Israel mencapai matlamatnya menghapuskan Hamas.

Menurut pegawai, Washington mahu negara di rantau itu, termasuk Turki, memainkan peranan dalam pembinaan semula tadbir urus dan kemungkinan keselamatan di Semenanjung Gaza yang dikendalikan oleh Hamas sejak 2007.