WENCHANG: Roket pembawa Long March-7 Y11 yang membawa kapal angkasa kargo Tianzhou-10 dilancarkan dari Pusat Pelancaran Kapal Angkasa Wenchang di provinsi Hainan, selatan China pada pukul 8.14 pagi tadi (waktu tempatan).
Kira-kira 10 minit selepas pelancaran, Tianzhou-10 berpisah dengan roket dan memasuki orbit yang ditetapkan. Panel solar pada kapal angkasa itu berfungsi dengan lancar, sekali gus menandakan kejayaan penuh misi pelancaran berkenaan.
Menurut Pejabat Kejuruteraan Angkasa Lepas Bermanusia China, Tianzhou-10 kemudian dijadual menjalankan proses pertemuan dan pencantuman dengan Stesen Angkasa China yang beroperasi di orbit.
Muatan Tianzhou-10 merangkumi satu sut angkasawan untuk kegunaan aktiviti luar kenderaan (EVA) serta bekalan keperluan harian untuk angkasawan bertugas, bahan pendorong, peralatan eksperimen serta bahan-bahan aplikasi.
Misi itu merupakan misi pembekalan kargo kelima selepas projek kejuruteraan angkasa lepas bermanusia China memasuki fasa aplikasi dan pembangunan stesen angkasa. Ia juga misi pelancaran ke-39 sejak projek berkenaan diluluskan dan dilaksanakan, sekali gus penerbangan ke-641 yang diselesaikan roket pembawa siri Long March.
-- BERNAMA-CMG