Skip to main content

Dunia

Pemangku Presiden Venezuela tiba di Belanda untuk pendengaran akhir ICJ berhubung pertikaian Essequibo

FILE PHOTO: Venezuela's interim President Delcy Rodriguez speaks as she meets with U.S. Interior Secretary Doug Burgum (not pictured), in Caracas, Venezuela, March 4, 2026. REUTERS/Leonardo Fernandez Viloria/File Photo
Rodriguez berkata pendengaran akhir mahkamah itu akan berlangsung pada Isnin. - Gambar fail/ Reuters

ISTANBUL: Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez tiba di Belanda pada Ahad menjelang pendengaran akhir di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pertikaian berdekad lama antara negaranya dan Guyana melibatkan Wilayah Essequibo yang kaya dengan sumber, lapor Anadolu Ajansi yang memetik sebuah akhbar harian Amerika Syarikat (AS).

The Washington Times melaporkan bahawa sejurus mendarat di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam, Rodriguez berkata Venezuela telah "membuktikan dalam setiap peringkat sejarah maksud wilayah kami sejak kami dilahirkan sebagai sebuah Republik."

Pendengaran akhir mahkamah yang memaparkan kehadiran Rodriguez itu akan berlangsung pada Isnin, katanya.

Mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague kini sedang menyemak tuntutan bertindih ke atas wilayah seluas hampir 160,579 kilometer persegi itu yang kaya dengan emas, berlian, balak, dan simpanan minyak luar pantai.

Guyana meminta ICJ pada 2018 untuk mengekalkan keputusan timbang tara 1899 yang menetapkan sempadan berkenaan, manakala Venezuela berhujah bahawa perjanjian Geneva 1966 telah membatalkan keputusan itu.

Venezuela juga menegaskan bahawa penyertaannya dalam pendengaran itu tidak bermakna ia mengiktiraf bidang kuasa ICJ.

Keputusan akhir daripada mahkamah itu dijangka diperoleh dalam tempoh beberapa bulan akan datang, menurut akhbar harian berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video