Skip to main content

Malaysia

Lelaki didakwa bunuh jiran warga emas

SINAR HARIAN
Foon Choon Keong didakwa membunuh Woo Chui Fun di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, antara 4.40 petang hingga 10 malam, 4 Mei lepas. -Foto Sinar Harian

IPOH: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas yang juga jirannya, minggu lepas.

Foon Choon Keong, 53, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Evangelin Simon Silvaraj, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa membunuh Woo Chui Fun, 70, di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman di sini, antara 4.40 petang hingga 10 malam, 4 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh diwakili peguam Khesminkapil Singh Dhanoa.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes serta laporan kimia dan bedah siasat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video