BMW panggil balik lebih 12,000 kenderaan di Afrika Selatan berhubung risiko kebakaran

BMW Afrika Selatan mengeluarkan panggilan balik keselamatan segera terhadap 12,491 kenderaan pelbagai siri berikutan kecacatan berbahaya yang boleh menyebabkan kebakaran walaupun ketika kereta diletakkan dan enjin dimatikan. - Gambar hiasan Reuters
CAPE TOWN: BMW Group Afrika Selatan mengeluarkan panggilan balik keselamatan segera terhadap 12,491 kenderaan pelbagai siri berikutan kecacatan berbahaya yang boleh menyebabkan kebakaran walaupun ketika kereta diletakkan dan enjin dimatikan, lapor Xinhua.
Panggilan balik itu melibatkan enam model yang dijual di negara berkenaan sejak 2016, termasuk 3 Series, 4 Series, 5 Series, Z4, X3 dan X4.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin oleh Suruhanjaya Pengguna Kebangsaan (NCC) Afrika Selatan, panggilan balik itu berkaitan kecacatan pada starter motor atau motor pemula.
"Menurut BMW, kawalan produk dan aduan pelanggan menunjukkan bahawa pada kenderaan yang dikenal pasti, air boleh memasuki motor pemula di bahagian tertentu dan menyebabkan kakisan," kata suruhanjaya itu."Keadaan ini boleh menyebabkan enjin gagal dihidupkan, mengakibatkan litar pintas dan seterusnya pemanasan melampau pada motor pemula," menurut NCC.
"Dalam kes paling teruk, ia boleh menyebabkan kebakaran kenderaan, yang boleh berlaku walaupun ketika kenderaan diletakkan."
Pengguna dinasihatkan supaya mengelak memandu melalui air dalam yang boleh menenggelamkan motor pemula.
Suruhanjaya itu turut menggesa pemilik kenderaan terjejas supaya mengunjungi pusat pengedar sah BMW terdekat untuk menggantikan motor pemula dan penukaran berkenaan akan dilakukan tanpa sebarang kos kepada pengguna.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami