BREMEN: Bom Perang Dunia II seberat 500 kilogram yang ditemukan di bandar Hanover Jerman berjaya diletupkan pada Ahad, selepas beribu-ribu penduduk dipindahkan dari kawasan itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan pegawai bomba tempatan.

Kira-kira 8,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka di pusat bandar Jerman dan berpindah ke kawasan selamat sejauh satu kilometer.

Beg mengandungi puluhan ribu liter air diletakkan di sekeliling dan di atas tapak bom untuk mengawal gelombang letupan selain mengelak rumput kering di tapak itu terbakar.

Selepas beberapa jam pemindahan dikuatkuasakan pada 9 pagi (0700 GMT), penduduk masih belum dibenarkan pulang bagi membolehkan pakar dari perkhidmatan pelupusan bahan letupan memastikan tiada lagi bahaya di situ, menurut bomba.

Penemuan bom tinggalan pasukan Bersekutu dan Soviet semasa Perang Dunia II merupakan perkara biasa di Jerman, dengan kebanyakannya dimusnahkan oleh pakar pemusnah bom tanpa sebarang insiden.

Bom itu ditemukan di daerah Sahlkamp di utara bandar itu selepas ujian bunyi dijalankan di situ.

-- BERNAMA