KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari kedua berturut-turut pada Rabu apabila sentimen berhati-hati terus menjejaskan beberapa saham wajaran tinggi, khususnya dalam sektor perkhidmatan kewangan dan perladangan.
Bagaimanapun, kenaikan saham teknologi mengehadkan penurunan tersebut.
Maybank susut lima sen kepada RM9.92, manakala Public Bank turun enam sen kepada RM4.50. SD Guthrie pula merosot 11 sen kepada RM5.97.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.42 mata atau 0.53 peratus kepada 1,566.73 daripada paras 1,575.15 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.70 mata lebih rendah pada 1,574.45 dan bergerak antara 1,564.71 dengan 1,575.23 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran kekal positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 630 berbanding 430, manakala 476 kaunter tidak berubah, 1,247 tidak diniagakan dan 14 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.06 bilion unit bernilai RM2.76 bilion berbanding 3.35 bilion unit bernilai RM2.28 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, yang mengatasi anggaran awal 5.3 peratus, sedikit sebanyak memberikan keyakinan terhadap kekuatan ekonomi domestik yang disokong oleh penggunaan, pelaburan dan eksport yang berdaya tahan.
“Meskipun data ekonomi itu memberangsangkan, kami kekal berhati-hati memandangkan tekanan jualan berterusan terhadap beberapa saham wajaran tinggi menunjukkan keyakinan pelabur masih belum pulih.
“Ketidaktentuan luaran dan penyertaan pembelian yang lemah mungkin terus mengehadkan pemulihan pasaran, namun asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan dijangka terus memberikan sokongan,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, CIMB susut satu sen kepada RM7.03, IHH Healthcare turun empat sen kepada RM7.92 dan Hong Leong Bank berkurangan 10 sen kepada RM21.10. Tenaga Nasional dan Petronas Gas masing-masing kekal pada RM12.58 dan RM17.30.
Bagi saham paling aktif, MMAG dan MAG tidak berubah masing-masing pada dua sen dan 16 sen, Zetrix AI susut setengah sen kepada 5.5 sen, YTL Power International turun lima sen kepada RM4.00, manakala MYDCD melonjak 13 sen kepada 58 sen.
Antara saham paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat 70 sen kepada RM36.40, Kelington Group naik 34 sen kepada RM7.14, MI Technovation melonjak 34 sen kepada RM5.78, UWC menambah 28 sen kepada RM5.86 dan ViTrox meningkat 21 sen kepada RM9.21.
Nestle mendahului senarai saham rugi apabila susut 96 sen kepada RM94.30, Kuala Lumpur Kepong turun 32 sen kepada RM20.80, Press Metal Aluminium merosot 21 sen kepada RM6.65, Batu Kawan susut 18 sen kepada RM19.00 dan BLD Plantation berkurangan 16 sen kepada RM13.08.
Dalam kalangan indeks, Indeks FBM ACE melonjak 136.50 mata kepada 4,894.88 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 19.98 mata kepada 11,556.61.
Indeks FBM Mid 70 melonjak 149.01 mata kepada 16,554.41, manakala Indeks FBM Emas susut 8.34 mata kepada 11,604.21 dan Indeks FBM Top 100 turun 19.41 mata kepada 11,444.97.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 85.92 mata kepada 18,354.99, Indeks Perladangan merosot 90.03 mata kepada 8,730.27 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun sedikit sebanyak 0.72 mata kepada 166.22.
Indeks Tenaga pula meningkat 11.96 mata kepada 769.13.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.54 bilion unit bernilai RM2.41 bilion berbanding 2.05 bilion unit bernilai RM3.14 bilion pada Selasa.
Sementara itu, jumlah dagangan waran susut kepada 861.94 juta unit bernilai RM100.84 juta daripada 1.02 bilion unit bernilai RM106.74 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 665.65 juta unit bernilai RM241.61 juta berbanding 1.18 bilion unit bernilai RM325.84 juta pada Selasa.
Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 189.03 juta saham di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (284.43 juta), pembinaan (123.75 juta), teknologi (453.02 juta), perkhidmatan kewangan (79.04 juta), hartanah (91.46 juta), perladangan (29.66 juta), amanah pelaburan hartanah (12.03 juta), dana tertutup (233,700), tenaga (78.45 juta), penjagaan kesihatan (64.92 juta), telekomunikasi dan media (20.19 juta), pengangkutan dan logistik (39.89 juta), utiliti (73.34 juta) serta amanah perniagaan (865,500).
-- BERNAMA