Skip to main content

Malaysia

Imigresen tahan 12 lelaki warga China disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian

SH Sitti Saleha menunjukkan telefon bimbit, komputer dan pelbagai peralatan yang digunakan sindiket penipuan dalam talian yang berjaya ditumpaskan menerusi operasi imigresen di Kota Kinabalu baru-baru ini.  - Gambar Bernama
SH Sitti Saleha menunjukkan telefon bimbit, komputer dan pelbagai peralatan yang digunakan sindiket penipuan dalam talian yang berjaya ditumpaskan menerusi operasi imigresen di Kota Kinabalu baru-baru ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 12 lelaki warga China kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian menerusi serbuan di sebuah rumah banglo di Taman Perumahan Damai, di sini semalam.

Pengarah Imigresen Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata kesemua lelaki berumur 20 hingga 43 tahun itu ditahan kira-kira 11 pagi dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati empat daripada mereka melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan penyalahgunaan pas, manakala lapan lagi gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Advertisement

“Daripada 12 individu ditahan, 10 orang pada awalnya enggan mengemukakan dokumen perjalanan. Bagaimanapun, selepas dipujuk, empat daripada mereka akhirnya mengemukakan pasport masing-masing dan hasil pemeriksaan mendapati mereka telah tinggal lebih masa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 153 telefon bimbit pelbagai model jenama Apple, 11 komputer, sebuah unit CPU, sebuah mesin pencetak, 13 penghala Internet, tujuh pengecas, 22 kad SIM dan tiga pasport Republik Rakyat China.

Advertisement

Turut dirampas pelbagai mata wang asing termasuk dari Kemboja, Vietnam, China, Thailand dan Malaysia.

Menurut beliau, pemeriksaan terhadap sebuah komputer yang berjaya diakses menemukan rekod transaksi kewangan membabitkan beberapa negara termasuk India dan Kemboja, dengan transaksi dikenal pasti bernilai antara USD950 hingga USD1,500.

Beliau berkata kegiatan itu dipercayai menggunakan premis berkenaan untuk menjalankan penipuan yang menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JIM Sabah turut menahan dua warga China di Keningau kerana menyalahgunakan pas dengan menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan tamu, walaupun seorang memegang Pas Lawatan Sosial (PLS) dan seorang lagi pas ekspatriat.

Katanya, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang menggaji atau melindungi warga asing terbabit, termasuk kemungkinan tindakan terhadap majikan yang membenarkan pekerja menyalahgunakan pas.

Beliau berkata orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing yang mencurigakan bagi membantu usaha membanteras kegiatan jenayah imigresen di Sabah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement