Skip to main content

Dunia

EU luluskan ubat baharu untuk rawat kanser pankreas

Dalam satu kajian melibatkan 500 pesakit kanser pankreas tahap lanjut, keberkesanan ubat itu terhadap jangka hayat pesakit dibandingkan dengan kemoterapi. - Gambar hiasan
Dalam satu kajian melibatkan 500 pesakit kanser pankreas tahap lanjut, keberkesanan ubat itu terhadap jangka hayat pesakit dibandingkan dengan kemoterapi. - Gambar hiasan
Advertisement

BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah meluluskan ubat baharu bagi rawatan kanser pankreas, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ubat daraxonrasib yang dipasarkan dengan jenama Rasonque itu tidak menjanjikan penyembuhan, sebaliknya bertujuan memanjangkan jangka hayat pesakit berbanding rawatan kemoterapi.

Ubat berkenaan boleh digunakan oleh pesakit dewasa yang pernah menerima sekurang-kurangnya satu jenis rawatan kanser sebelum ini, menurut Suruhanjaya Eropah.

Advertisement

Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) telah mengesyorkan kelulusan ubat itu pada Oktober lepas.

Ubat baharu itu bertujuan memperlahankan pertumbuhan sel tumor. Ia bertindak terhadap sejenis protein dalam sel yang mengalami perubahan dalam kira-kira 90 peratus kes kanser pankreas. Perubahan protein itu menyebabkan sel kanser membiak secara tidak terkawal.

Advertisement

Dalam satu kajian melibatkan 500 pesakit kanser pankreas tahap lanjut, keberkesanan ubat itu terhadap jangka hayat pesakit dibandingkan dengan kemoterapi.

Pesakit yang menerima ubat daraxonrasib hidup secara purata selama 12.4 bulan lagi, berbanding 6.7 bulan bagi mereka yang menjalani rawatan kemoterapi.

Kanser pankreas lazimnya tidak menunjukkan sebarang gejala atau hanya menyebabkan gejala tidak khusus seperti penurunan berat badan atau sakit pada bahagian atas abdomen atau belakang untuk tempoh yang lama.

Oleh itu, tumor berkenaan sering dikesan lewat, kebiasaannya hanya selepas kanser merebak ke bahagian lain badan.

Kanser jenis ini membawa maut dalam tempoh yang singkat bagi kebanyakan penghidapnya. Menurut data pendaftaran kanser daripada Institut Robert Koch (RKI), sebuah agensi kesihatan kerajaan Jerman, hanya kira-kira seorang daripada setiap 10 pesakit masih hidup lima tahun selepas didiagnosis.

Penyakit itu lazimnya berlaku dalam kalangan individu berusia lebih 70 tahun.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement