KUALA LUMPUR: Myanmar memberi bayangan untuk menilai semula hubungannya dengan ASEAN susulan ketidakpuasan hati terhadap pendirian terbaharu blok serantau itu.
Presidennya, Min Aung Hlaing menyifatkan kenyataan Sidang Kemuncak ASEAN sebagai tidak munasabah, selain mendakwa pendirian berkenaan dipengaruhi kepentingan peribadi segelintir individu yang mempunyai kuasa.
"Kami percaya terdapat kira-kira tiga atau empat individu yang memegang jawatan berkuasa menentang kami atas kepentingan peribadi mereka.
"Kerajaan kami sudah memutuskan untuk mempertimbangkan semula hubungan antara Myanmar dengan ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Parlimen Myanmar di Naypyitaw hari ini, susulan mesyuarat ASEAN minggu ini yang diadakan tanpa penyertaan negara berkenaan.
Bagaimanapun, Min Aung Hlaing menegaskan Myanmar akan terus mengadakan perbincangan dengan negara anggota ASEAN bagi memulihkan hubungan, dengan mengambil kira pendirian dan kedaulatan negaranya serta pandangan anggota blok itu.
Kenyataan itu dibuat ketika bekas ketua junta tentera berkenaan giat mengusahakan pemulihan hubungan Myanmar dengan ASEAN selepas dilantik sebagai Presiden pada April 2026.
Pelantikannya menyusul pilihan raya yang menerima kritikan meluas dan didominasi parti yang disokong tentera, selepas rampasan kuasa pada 2021 mencetuskan konflik bersenjata di seluruh negara.
Sejak memegang jawatan Presiden, Min Aung Hlaing mengadakan lawatan ke beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia, Thailand dan Vietnam dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik.
Hampir separuh daripada 11 negara anggota ASEAN turut meningkatkan hubungan dua hala dengan Myanmar sejak pilihan raya berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Min Aung Hlaing mengumumkan rancangan mengadakan persidangan damai pada Februari 2027, dengan matlamat menamatkan konflik bersenjata dalam tempoh lima tahun pentadbirannya.
Setakat ini, Kementerian Luar Filipina selaku Pengerusi ASEAN belum memberikan maklum balas terhadap kenyataan Min Aung Hlaing itu.