LONDON: Sebuah dingi (bot kecil) yang membawa hampir 160 migran terbakar ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris, menurut laporan media British pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pengawal Pantai United Kingdom (UK) mengesahkan bot berkenaan terbakar pada pagi Selasa ketika masih berada di perairan Perancis.
Pasukan pencari dan penyelamat Perancis, Pengawal Pantai UK serta Institusi Bot Penyelamat Kebangsaan Diraja (RNLI) bergegas ke lokasi kejadian, menurut laporan The Telegraph.
Pihak berkuasa Perancis memaklumkan kesemua 157 penumpang berjaya diselamatkan dan dibawa ke Pelabuhan Boulogne-sur-Mer. Tiada laporan mengenai kecederaan atau kematian.
BBC yang memetik Wilayah Maritim Perancis bagi Selat Inggeris dan Laut Utara melaporkan usaha menyelamat sejak semalaman selepas bot berkenaan mengalami kesukaran.
"Seramai lima penumpang di atas bot itu memerlukan bantuan penyelamat... manakala penumpang selebihnya menolak bantuan yang ditawarkan oleh bot peronda Perancis," menurut wilayah itu.
Pihak berkuasa Perancis berkata kebanyakan penumpang bertekad untuk meneruskan pelayaran walaupun menyedari mereka berdepan risiko.
"Dengan tekad untuk sampai ke United Kingdom, migran yang menyeberangi Selat Inggeris menggunakan bot kecil menolak bantuan yang ditawarkan oleh perkhidmatan kecemasan Perancis dan hanya menerimanya apabila berada dalam situasi sangat mendesak," katanya.
Pegawai Perancis memaklumkan mereka memilih untuk tidak campur tangan secara langsung pada peringkat awal disebabkan struktur rapuh bot sarat muatan itu yang lazim digunakan untuk menyeberangi selat berkenaan.
Bagaimanapun, situasi menjadi semakin buruk pada pagi Selasa apabila enjin bot berkenaan terbakar.
-- BERNAMA-ANADOLU