DUNIA
BRICS desak penubuhan zon bebas senjata pemusnah di Asia Barat

BRICS menekankan kepentingan dialog dan diplomasi bagi menyelesaikan konflik serantau, serta menyeru perlindungan terhadap orang awam dan kemudahan nuklear aman. - Gambar fail
BUENOS AIRES: Negara-negara BRICS menggesa penubuhan zon bebas senjata nuklear dan senjata pemusnah lain di Asia Barat, menurut satu kenyataan bersama yang diterbitkan oleh Kementerian Luar Brazil, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Ringkasan AI
- Negara-negara BRICS menggesa penubuhan zon bebas senjata nuklear di Asia Barat, sambil mengutuk serangan Israel ke atas Iran sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.
- BRICS menekankan kepentingan dialog dan diplomasi bagi menyelesaikan konflik serantau, serta menyeru perlindungan terhadap orang awam dan kemudahan nuklear aman.
- Konflik Israel-Iran meningkat sejak 13 Jun, dengan serangan udara dan balasan peluru berpandu, namun disusuli gencatan senjata yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump selepas 12 hari ketegangan.
Negara-negara BRICS turut menyatakan bahawa serangan Israel ke atas Iran yang bermula pada 13 Jun merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.
"Dalam menghadapi peningkatan ketegangan yang membawa kesan tidak menentu terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa serta ekonomi global, kami menekankan keperluan mendesak untuk memutuskan kitaran keganasan dan mengembalikan keamanan.
"Kami menggesa semua pihak supaya terlibat melalui saluran sedia ada bagi dialog dan diplomasi ke arah meredakan keadaan dan menyelesaikan perbezaan secara aman," menurut kenyataan bersama itu.
Negara anggota BRICS turut menegaskan bahawa nyawa orang awam, infrastruktur awam serta kemudahan nuklear aman mesti dilindungi selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Kami menyatakan kebimbangan terhadap sebarang serangan ke atas kemudahan nuklear aman yang dilakukan secara bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berkaitan.
"Langkah-langkah keselamatan, perlindungan dan kawal selia nuklear mesti sentiasa dipatuhi, termasuk dalam konflik bersenjata bagi melindungi manusia dan alam sekitar daripada kemudaratan.
"Sehubungan itu, kami mengulangi sokongan terhadap inisiatif diplomatik untuk menangani cabaran serantau," menurut kenyataan itu.
Israel melancarkan operasi besar-besaran terhadap Iran pada awal 13 Jun, dengan mendakwa Tehran menjalankan program nuklear ketenteraan secara rahsia.
Beberapa gelombang serangan udara dilancarkan ke seluruh Iran termasuk di Tehran, yang mengorbankan pegawai tentera kanan dan saintis nuklear Iran.
Sasaran termasuk tapak nuklear Natanz dan Fordow serta lokasi ketenteraan.
Iran bertindak balas dengan melancarkan Operasi True Promise 3 pada 13 Jun yang menyasarkan kemudahan ketenteraan Israel.
Iran menafikan wujudnya elemen ketenteraan dalam program nuklearnya.
Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi pada 18 Jun berkata agensinya tidak mempunyai bukti kukuh bahawa Iran sedang aktif membangunkan senjata nuklear.
Penilaian risikan AS juga mencapai kesimpulan serupa bahawa Iran tidak secara aktif mengejar pembangunan senjata nuklear, lapor CNN pada 17 Jun yang memetik sumber terdekat.
Bekas Duta Besar UK ke Uzbekistan merangkap aktivis hak asasi manusia, Craig Murray memberitahu RIA Novosti bahawa Iran bertindak "amat bertanggungjawab dan sabar" sejak beberapa tahun lalu meskipun berdepan tindakan Israel.
Pada 22 Jun, Amerika Syarikat menyertai kempen ketenteraan Israel dengan membedil tiga tapak nuklear Iran - Natanz, Fordow dan Isfahan.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al-Udeid milik AS di Qatar.
Presiden AS Donald Trump kemudiannya mengumumkan pada malam Isnin bahawa Israel dan Iran bersetuju mengadakan gencatan senjata untuk menamatkan konflik 12 hari antara kedua-dua pihak.
Beliau mengesahkan pada Selasa bahawa gencatan senjata kini berkuat kuasa.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami