Ringkasan AI
- Bank Negara Malaysia menggariskan penggunaan kontrak Syariah yang lebih luas untuk memenuhi keperluan pembiayaan, pelaburan dan perlindungan kewangan Islam.
- Komitmen bersama pengamal kewangan Islam, pakar Syariah dan teknologi diperlukan untuk memperkukuh pembangunan sektor kewangan Islam negara.
- Malaysia memperluas kemudahan struktur perdagangan dan pelaburan rentas sempadan, menyokong aspirasi sebagai hab kewangan Islam global.
KUALA LUMPUR: Kertas Strategi terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) menggariskan bagaimana rangkaian kontrak Syariah yang lebih luas boleh diaplikasikan secara lebih terarah dan pelbagai bagi memenuhi keperluan pembiayaan, pelaburan dan perlindungan yang semakin berkembang, menurut bank pusat itu.
Timbalan Gabenor BNM Adnan Zaylani berkata penyelesaian kewangan kini semakin menggabungkan pelbagai kontrak, menyokong lebih banyak aktiviti ekonomi serta dilaksanakan menerusi model perniagaan dan teknologi yang sentiasa berubah.
“Pematuhan terhadap keperluan Syariah kekal sebagai asas utama bagi transaksi kewangan Islam.
“Kontrak Syariah yang memudah cara perdagangan, pelaburan, penyediaan perkhidmatan dan perlindungan perlu diaplikasikan dengan cara yang mencerminkan tujuan asalnya serta menyumbang kepada objektif kewangan Islam yang lebih luas,” katanya dalam ucapan pada Forum Fellowship Profesional CIIF 2026.
Adnan berkata usaha merapatkan jurang keupayaan ini memerlukan komitmen bersama yang terancang, khususnya dalam kalangan pengamal kewangan Islam, pakar Syariah dan pakar teknologi, menerusi pertukaran pandangan profesional yang lebih erat.
“Setiap pihak melihat cabaran dan peluang daripada perspektif berbeza. Pengamal memahami keperluan perniagaan dan pelanggan; pakar Syariah menilai kesahihan dan integriti struktur yang mendasarinya; manakala pakar teknologi memahami cara penyelesaian digital beroperasi serta aspek yang mungkin terdedah kepada kelemahan,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu mencerminkan realiti lebih luas bahawa keupayaan yang diperlukan bagi fasa seterusnya pembangunan kewangan Islam mungkin tidak tertumpu pada mana-mana satu institusi, profesion atau pasaran.
“Kebanyakan kepakaran yang diperlukan sebenarnya sudah tersedia, namun tersebar merentasi pelbagai bahagian sektor kewangan, ekonomi yang lebih luas dan semakin melangkaui sempadan negara,” katanya.
Beliau berkata Malaysia turut berusaha memperluas kemudahan bagi struktur perdagangan dan pelaburan rentas sempadan yang berpotensi merangkumi instrumen derivatif dan lindung nilai, sekali gus memerlukan keupayaan teknikal yang lebih tinggi.
Adnan berkata Majlis Penasihat Syariah (SAC) telah pun mengkaji kes penggunaan dalam pengurusan mudah tunai antara bank dan lindung nilai.
“Sebagai sebahagian daripada aspirasi lebih besar kita, kewangan Islam juga sedang diperkukuh bagi memenuhi keperluan segmen pertumbuhan bernilai US$2 trilion (US$1 = RM4.11), iaitu ekonomi halal dan kewangan mampan.
“Selain itu, menerusi agenda Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), sebahagian besar asas telah dibangunkan bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai hab kewangan Islam yang mempunyai jaringan hubungan global,” katanya.
-- BERNAMA