Ringkasan AI
- Lebuh Pantai di George Town, Pulau Pinang, tersenarai di tempat kesembilan Jalan Paling “Cool” di Dunia 2026 oleh majalah Time Out.
- Pengiktirafan ini berdasarkan perkembangan pesat landskap kreatif, perniagaan bebas, serta kepelbagaian makanan dan minuman di kawasan tersebut.
- Antara premis yang diketengahkan ialah Rembar, Mano Plus Select Store, Sixth Sense dan Ome by Spacebar Coffee.
GEORGE TOWN: Lebuh Pantai, jalan bersejarah di bandar raya ini menduduki tempat kesembilan dalam senarai 28 Jalan Paling “Cool” di Dunia bagi 2026 oleh majalah “Time Out”, pengiktirafan yang diberikan berasaskan perkembangan pesat landskap kreatif, perniagaan bebas serta kepelbagaian makanan dan minuman ditawarkan di kawasan itu.
Majalah gaya hidup antarabangsa itu menyifatkan Lebuh Pantai atau dikenali juga sebagai “Beach Street”, sebagai antara jalan tertua di George Town yang kini mengalami kebangkitan semula sektor kreatif hasil usaha usahawan muda tempatan.
“Pelbagai projek yang diusahakan oleh golongan muda ini, seperti kafe bebas, bar wain semula jadi, kedai barangan vintaj serta restoran cita rasa Malaysia dengan pendekatan tersendiri, menjadikan kawasan tersebut semakin menarik untuk dikunjungi.
“Jalan ini merupakan lokasi permulaan yang baik untuk menikmati aktiviti makan, minum dan beli-belah di sekitar George Town. Lorong-lorong kecil di sekitarnya juga menawarkan pelbagai tarikan untuk diterokai," menurut Time Out (https://www.timeout.com/travel/coolest-streets-in-the-world-2026).
Antara premis makanan yang dikentengahkan ialah Rembar, yang terkenal dengan sajian moden Asia Tenggara, manakala bagi aktiviti beli-belah Time Out mencadangkan Mano Plus Select Store, yang menawarkan produk jenama tempatan, barangan kelengkapan rumah dan cenderahati berkonsep rekaan, serta Sixth Sense, butik pakaian daripada fabrik linen yang sesuai untuk iklim tropika.
Penerbitan itu turut mengetengahkan Ome by Spacebar Coffee, yang disifatkan sebagai antara kedai kopi terbaik di dunia.
Lebuh Pantai yang dibangunkan sekitar 1786 dan 1787 pada asalnya dibina mengikut bentuk lengkungan pesisir pantai, dengan kawasan pantai terletak betul-betul bersebelahan dengan jalan tersebut, berbeza dengan Jalan Light yang mempunyai laluan lebih lurus.
Sementara itu, Song Wat Road di Bangkok, Thailand menduduki tempat pertama dalam senarai tersebut, diikuti Golborne Road di London, England di tempat kedua dan Fernández de Enciso di Buenos Aires, Argentina di tempat ketiga.
-- BERNAMA