NEW DELHI: Malaysia secara rasmi menjemput Ethiopia untuk membuka kedutaannya di Kuala Lumpur sebagai langkah konkrit mengukuhkan hubungan diplomatik dan memperluas jaringan ekonomi antara kedua-dua negara.
Pernyataan itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dua hala bersama rakan sejawatannya dari Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali, di luar siri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18, sini hari ini.
Pertemuan tersebut memancarkan kesinambungan momentum positif hasil siri lawatan timbal balik pemimpin tertinggi sebelum ini, bermula dengan lawatan rasmi Abiy ke Malaysia pada 2024, disusuli lawatan kerja Anwar ke Addis Ababa pada 2025.
Hubungan diplomatik kedua-dua negara mencatatkan sejarah penting apabila Malaysia membuka semula Kedutaan Besarnya di Addis Ababa pada September 2025 selepas ditutup selama 43 tahun.
Untuk rekod, perwakilan diplomatik Malaysia di Addis Ababa kali pertama dibuka pada 1965 namun ditutup pada 1982 berikutan pergolakan politik domestik di bawah rejim Derg serta langkah rasionalisasi perbelanjaan kerajaan akibat kemelesetan ekonomi global ketika itu, yang menyaksikan urusan akreditasi diselia menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya.
Pembukaan semula kedutaan berkenaan membuktikan komitmen Putrajaya memperluas pengaruh diplomatik dan membuka pasaran baharu di rantau Tanduk Afrika (Horn of Africa), selain mempererat kerjasama Selatan-Selatan (South-South cooperation).
Dalam pertemuan hari ini, Anwar turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan teguh Addis Ababa terhadap penyertaan Malaysia dalam platform BRICS.
Bagi menstrukturkan kerjasama secara rasmi dan mampan, kedua-dua pemimpin bersetuju mengadakan sesi Rundingan Dua Hala yang pertama di Kuala Lumpur pada tahun hadapan.
Kedua-dua negara turut membincangkan penerokaan peluang pelaburan dan perdagangan rentas sektor merangkumi produk industri halal, pertanian, keterjaminan makanan, farmaseutikal, perkhidmatan digital, tenaga boleh baharu, serta sektor pelancongan.
Turut mengiringi Perdana Menteri dalam rundingan dua hala berkenaan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India, Sharifah Ezneeda Wafa; serta delegasi kanan Kementerian Luar Negeri.