BRISBANE: Kebakaran belukar yang masih belum dapat dikawal sepenuhnya di kawasan Lockyer Valley, barat Brisbane, menyebabkan asap tebal menyelubungi bandar raya itu, sekali gus menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan utama.
Keadaan itu berlaku selepas Queensland mencatat cuaca panas luar biasa pada awal musim bunga, dengan suhu mencecah sehingga 35 hingga 36 darjah Celsius, antara yang tertinggi pernah direkodkan bagi September sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut pihak berkuasa, kualiti udara di pusat bandar Brisbane, South Brisbane dan Woolloongabba berada pada tahap buruk pada pagi Isnin, manakala Cannon Hill di timur bandar mencatat bacaan yang lebih membimbangkan.
Jabatan bomba negeri telah menguatkuasakan larangan pembakaran terbuka di Ipswich dan Lockyer Valley selepas puluhan kebakaran dikesan di seluruh tenggara Queensland.
Antara yang paling membimbangkan ialah kebakaran rumput berhampiran Plainland yang merebak dengan pantas sehingga memaksa Lebuhraya Warrego ditutup selama beberapa jam.
Api dilaporkan menghampiri laluan trafik dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Beberapa penduduk turut dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala mereka yang tinggal berhampiran kawasan kebakaran terus memantau perkembangan situasi yang banyak dipengaruhi keadaan cuaca dan arah angin.
Pasukan bomba, dengan bantuan pesawat pengebom air, masih bertungkus-lumus mengawal kebakaran yang dijangka terus aktif dalam tempoh beberapa hari lagi.
Sementara itu, Biro Meteorologi Australia menjangkakan cuaca lebih panas daripada biasa akan berterusan sepanjang musim bunga tahun ini. Ramalan semasa menunjukkan suhu bagi September hingga November berkemungkinan melebihi purata, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran di beberapa kawasan.
Pihak berkuasa kesihatan menasihatkan orang ramai, terutama kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, supaya mengurangkan aktiviti luar sementara keadaan berjerebu berterusan.