PETALING JAYA: Pihak pemisah selatan Thailand bersetuju untuk membentuk Joint Working Group (JWG) dengan Kerajaan Thailand dalam usaha menyelesaikan isu di selatan negara tersebut.

Persetujuan yang dicapai antara Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) dan kerajaan negara itu dibuat di bawa peraturan ditetapkan Sekretariat Fasilitator.

Keputusan positif itu merupakan satu daripada empat kata putus yang dicapai hasil Rundingan Damai Rasmi kali ke-3 yang diketuai Anas Abdulrahman yang mewakili BRN dan Jeneral Wanlop Rugsanaoh yang mewakili kerajaan negeri Thai.

Menurut Anas yang juga merupakan Ketua Panel Perunding BRN, rundingan turut dipantau dua pakar antarabangsa iaitu Jonathan Powell dari United Kingdom dan Siri Skaro dari Norway.

“Rundingan kali ini, kedua belah pihak iaitu delegasi BRN dan RTG telah mencapai kesepakatan beberapa perkara.

BACA: BRN setuju sertai proses dialog damai dengan kerajaan Thailand

“Antaranya bersetuju untuk membincang perkara-perkara yang berkaitan dengan isu substantif yang diserahkan kedua belah pihak kepada fasilitator pada 10 Mei 2021, berkaitan dengan solusi politik, konsultasi awam dan pengurangan tindakan kekerasan kedua belah pihak.

“Rundingan juga bersetuju untuk melahirkan agreement diatas Prinsip-prinsip Am Rundingan Damai antara BRN dan RTG yang berkaitan dengan isu-isu substantif,” katanya pada sidang media khas pada Khamis.

Selain tiga perkara tersebut, Anas berkata kedua-dua pihak juga bersetuju untuk merumuskan Terma Rujukan (ToR) dan kaedah-kaedah yang akan digunapakai dalam implementasi di lapangan kelak.

“BRN sangat mengharapkan proses rundingan damai ini dapat diteruskan dan membawa kedamaian yang hakiki dan bermaruah bagi seluruh rakyat bangsa Melayu Patani,” ujarnya.

Astro AWANI pada Januari 2020 melaporkan BRN bersetuju untuk menyertai proses dialog damai bersama kerajaan Thailand bagi menyelesaikan konflik ketegangan di selatan negara itu.

Ketegangan di antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 7,000 mangsa termasuk anggota keselamatan Thailand.
-ENDS-