LONDON: Seorang budak lelaki berusia 13 tahun ditahan polis atas dakwaan cuba membunuh dua murid, masing‑masing berusia 12 dan 13 tahun, di Kingsbury High School, Brent, London, pada Selasa.
Kedua‑dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat ditikam dan sedang menerima rawatan segera di hospital.
Advertisement
Insiden berlaku sekitar 12.40 tengah hari, apabila suspek dipercayai memanjat dinding sekolah untuk memasuki kawasan bangunan sebelum melancarkan serangan.
Menurut laporan, salah seorang mangsa sempat membunyikan penggera kebakaran bagi memberi amaran kepada guru.
Polis turut menemui senjata pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan itu.
Siasatan kini dikendalikan Unit Counter Terrorism Policing London, namun polis menegaskan kejadian itu buat masa ini tidak diklasifikasikan sebagai serangan berkaitan keganasan.
Tiada suspek lain diburu, dan motif serangan masih dalam siasatan.
Saksi berkata kejadian mencetuskan panik dalam kalangan murid, dengan ada antara mereka dilihat menangis dan mengetuk tingkap meminta bantuan.
Ramai ibu bapa hanya mengetahui perkembangan sebenar selepas sekolah menahan pelajar selama beberapa jam untuk membantu siasatan.
Pihak sekolah menyifatkan insiden itu amat mengejutkan dan menutup kawasan sekolah bagi tujuan keselamatan.