SEORANG wanita mengaku bersalah atas tuduhan membunuh dan menanam adik iparnya dengan simen di sebuah apartment di Taipei, Taiwan.

Wanita yang dikenali sebagai Zhang, 38 tahun, mengaku membunuh adik perempuan suaminya, Ye, dengan memukul dahinya menggunakan 'dumbbell', melemaskannya di dalam tab mandi dan menanam mayat tersebut di dalam bilik mangsa pada 13 Mac, lapor Taiwan News.

Persoalan timbul apabila mangsa tidak hadir ke pejabat selama empat hari. Majikan mula resah lalu menghubungi abang mangsa (suami Zhang) untuk bertanya tentang pekerjanya itu.

Abang mangsa bergegas pulang ke rumah dah mendapati timbunan simen di bilik adiknya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan apartment berkenaan menunjukkan Zhang membawa 30 beg simen ke dalam apartment tersebut.

Pihak polis mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mayat mangsa daripada timbunan simen itu. Mayat kemudian dihantar ke makmal forensik hospital untuk dibedah siasat.

Apabila disoal, Zhang memberitahu pihak polis dengan nada tenang, "Saya tidak tahu apa-apa tentang perkara ini."

Namun ketika dibawa ke balai polis, wanita itu akhirnya mengaku dia membunuh dan menanam mayat adik iparnya.